BeritaPolitik

Dilema Malaysia: Anwar tempelak saya bila ditanya kenapa tidak hadir Parlimen

SAYA pernah menanyakan soalan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengapa beliau sibuk melawat Parlimen Indonesia, sedangkan beliau sepatutnya hadir pada sidang Parlimen di Malaysia.

Soalan  saya itu menimbulkan kemarahan yang meluap sehingga sidang akhbar dihentikan selepas beliau memberi syarahan politik kepada para pemberita yang hadir ketika lawatannya ke Jakarta satu masa dahulu.

Datuk Seri Azmin Ali yang turut hadir pada lawatan itu terbelalak matanya menenung saya kerana menahan kemarahan.

“Ini wartawan dari akhbar milik kerajaan, dan tidak pernah melaporkan yang baik tentang saya,” Anwar meninggikan suaranya.

“Kenapa Pak Najib ( Datuk Seri Najib Tun Razak) sudah lebih sebulan tidak hadir ke Parlimen kamu tidak persoal,” bentaknya lagi.

Anwar dan para penyokongnya serta pemimpin Indonesia berlalu begitu sahaja selepas melihatkan pemimpin PKR itu yang kini bakal perdana menteri melepaskan kemarahannya di hadapan semua pemberita.

Selepas itu saya diserbu oleh para pemberita tempatan dan bertanyakan apakah benar sebagaimana yang saya dakwa.

Saya menjelaskan Pak Anwar itu hipokrit dia berbicara seolah-olah seorang pemimpin yang sangat demokratik, tetapi hakikatnya tidak.

Bahkan wartawan Utusan langsung tidak dibenarkan membuat liputan majlis membabitkan pemimpin pembangkang ketika itu. Dan lihatlah apa yang dilakukan kepada Utusan apabila mereka memerintah.

Anwar juga memang pandai berhujah dan menyalahkan orang lain, tetapi beliau lupa Najib ketika itu seorang perdana menteri, tentulah beliau terlalu sibuk dan kenapa hendak dibanding dengan beliau yang hanya seorang pemimpin pembangkang sengaja menyibukkan diri.

Kini Anwar hanya seorang ahli parlimen dan bakal perdana menteri, jadi apa lagi alasan untuk tidak hadir di parlimen.

Sebenarnya tabiat ponteng dari parlimen ini memang telah lama tersemat di jiwa pemimpin pakatan harapan, kerana kebanyakan mereka adalah pemimpin yang lahir dari jalanan.

Sesuatu yang lahir dari jalanan ia sukar dibangsawankan. Mereka sudah terbiasa berarak dan berceramah politik dan apabila dipaksa duduk di dalam parlimen sehari suntuk, itulah ada yang jatuh sakit dan sebagainya.

Bahkan ada pemimpin kerajaan di parlimen hanya bermain telefon bimbit menyaksikan siaran langsung bola sepak ketika perbahasan berlangsung.

Itulah kualiti pemimpin kerajaan yang ada hari ini. Dan tidak pernah saya dengar di mana-mana kerajaan di sudut dunia ini yang memberi alasan letih dan sejuk untuk tidak hadir sidang dewan.

Bukan seorang dua, tetapi hampir semua sikapnya sama sahaja. Itulah yang menyebabkan apabila undian membabitkan belanjawan baru-baru ini kerajaan hampir kalah.

Bagi menutup kesilapan mereka sebagaimana dipelajari daripada Anwar mereka menyalahkan pembangkang sebagai tidak cakna dan prihatin kerana bajet itu adalah untuk golongan miskin dan kurang berupaya.

Sedangkan sebelum ini Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah menegur sikap ahli parlimen kerajaan, tetapi ia tidak diendahkan langsung. Dan akhirnya mereka terpaksa diajar dengan cara yang pedih oleh ahli parlimen pembangkang.

 

 

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button