Politik

‘Membeli belah’ sana sini demi mempertahankan kuasa – Zahid

RAKYAT di negara ini semakin celik dan mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua orang tahu kemenangan pada pilihan raya adalah dengan tipu daya, pembohongan dan fitnah tiada maruah apatah keberkatan.

“Kini mereka cuba lakukan apa sahaja untuk mengaburi mata rakyat hatta ‘membeli belah’ sana sini demi mempertahankan kuasa.

“Namun rakyat kian celik dan pada akhirnya mereka terpaksa kembali bertemu jua dengan kita dalam penentuan PRU15,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Barikut adalah kenyataan penuh beliau:


“Apabila tiba saat itu, saya seru seluruh penyokong dan ahli UMNO/BN jangan kecundang lagi dengan muslihat lawan.

Cukuplah apa yang sudah kita lalui sejak 9 Mei 2018. Sejarah mendewasakan. Pengalaman sepatutnya mematangkan.

Kepada seluruh ahli UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dikasihi. Kekalahan pada PRU14 telah banyak mengajar dan menginsafkan kita.

Bukan kita tidak pernah cuba bertahan, tetapi apakan daya mereka mengharapkan guruh di langit, air tempayan dicurahkan.

Selepas lebih tiga tahun berlalu, kini kita mempelajari apakah maknanya apabila UMNO/BN tidak lagi mengemudi pentadbiran negara.

Kebajikan rakyat, keadaan ekonomi, kedaulatan undang-undang, hubungan kaum, keluhuran Perlembagaan, amalan demokrasi tidak perlu diungkap satu persatu.

Akan tetapi saya percaya sebahagian rakyat yang pernah menolak kita pada PRU14 juga telah menyedari natijahnya walau masih ada segan dan silu.

Kini peranan kita adalah berlapang dada. Sedangkan lidah lagi tergigit. Hulurkan tangan kepada mereka. Kembali berpadu atas nama kebenaran.

Tetapi jangan disamaertikan rakyat dengan katak si katak lompat. Jangan disamakan mangsa dengan pemangsa.

Saudara saudari ahli serta penyokong UMNO dan Barisan Nasional sekalian. Kita perlu mengakui segelintir kita turut terperangkap dengan helah dan tipu daya politik PRU14.

Terperangkap dengan psikologi lawan mempermainkan sentimen dan emosi ahli serta penyokong UMNO/BN untuk menumbangkan parti sendiri.

Saya masih ingat cerita tentang ceramah lawan politik di kawasan-kawasan yang dianggap kubu kuat UMNO/BN ketika itu.

Mula-mula mereka memburuk-burukkan para pemimpin UMNO/BN dengan pelbagai tuduhan dan dakyah.

Kemudian penceramah mula ‘bersajak’ memukau pendengar kononnya mereka bukan mahu menghancurkan UMNO, sebaliknya mahu menyelamatkan UMNO/BN.

Berpidato kononnya jika mereka menang, parti UMNO/BN akan diselamatkan oleh pemimpin kerajaan baharu.

Saya dimaklumkan, ucapan-ucapan yang penuh dengan kepuraaan dan hipokrit itu mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

Hakikatnya selepas tewas, UMNO/BN malah dihina, dikeji dan cuba dihapuskan secara total oleh mereka.

Mujur sebahagian pemimpin UMNO/BN yang telah diilustrasikan dengan begitu jahat tidak tahu erti mengalah.

Tetapi kita maklum karma kemenangan pilihan raya dengan tipu daya, pembohongan dan fitnah tiada maruah apatah keberkatan.

Kini mereka cuba lakukan apa sahaja untuk mengaburi mata rakyat hatta ‘membeli belah’ sana sini demi mempertahankan kuasa.

Namun rakyat kian celik dan pada akhirnya mereka terpaksa kembali bertemu jua dengan kita dalam penentuan PRU15.

Apabila tiba saat itu, saya seru seluruh penyokong dan ahli UMNO/BN jangan kecundang lagi dengan muslihat lawan.

Cukuplah apa yang sudah kita lalui sejak 9 Mei 2018. Sejarah mendewasakan. Pengalaman sepatutnya mematangkan.

Kita kembali bertaut. Negara perlu diperkasakan semula sebelum terlewat. Kemakmuran hidup rakyat perlu diperteguhkan sebelum bertambah parah. – SM

(Visited 139 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button