Politik

Rafizi tidak mahu ‘bina semula negara’ lagi?

BINA semula negara. Itulah impian yang diuar-uarkan oleh Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada dada baju yang dipakainya tertulis ‘Bina Semula Negara’. Pada trak transformer yang boleh bertukar menjadi pentas ceramah juga tertulis ‘Bina Semula Negara’.

Justeru terkejut juga tiba-tiba beberapa hari lalu, Rafizi umum mahu bersara daripada politik.

“SAYA nyatakan dengan jelas bahawa saya tidak akan kembali ke dalam bidang politik,” kata Rafizi menerusi ciapan di Twitter beberapa hari lalu.

Impiannya kini bertukar kepada bidang berkaitan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan pembelajaran mesin.

“Saya berada dalam fasa kehidupan di mana saya perlu belajar. Hanya dengan belajar kita akan jadi lebih baik dan menyumbang lebih baik. Buat masa ini, saya teruja untuk memberi tumpuan kepada AI, pembelajaran mesin & IoT,” katanya.

Bagaimana pula impian dan cita-cita Rafizi untuk ‘bina semula negara’? Videonya untuk membina semula negara boleh ditonton berulang kali di YouTube https://www.youtube.com/watch?v=Y7_qWtv9x38

”Saya akan menjelajah dari daerah ke daerah bermula Julai 2017 ini untuk berjumpa dengan seramai mungkin rakyat Malaysia. Tujuannya ialah untuk menggalakkan lebih ramai orang biasa untuk turut serta di dalam proses membina semula negara bermula dengan menukar kepimpinan di Putrajaya.

“Saya akan singgah di daerah anda dengan sebuah trak kempen yang telah diubah suai untuk menyampaikan tiga mesej utama,” kata Rafizi.

Tiga mesej untuk membina semula negara itu kata Rafizi, pertama rakyat perlu menuntut agar kenaikan gaji dikuatkuasakan melalui undang-undang.

Mesej kedua, rakyat perlu menuntut agar kerajaan mengawal kenaikan harga barang untuk mengurangkan kos sara hidup yang membebankan. Mesej ketiga pula rakyat perlu menuntut agar kebanjiran pekerja asing dihentikan serta merta.

Langkah untuk membina negara telahpun terbuka untuk Rafizi laksanakan. Rakyat telah memberi mandat kepada dia dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan untuk berada di Putrajaya.

Mandat itu diberi kerana rakyat berharap Rafizi akan bekerja lebih keras untuk membina semula negara sama seperti dalam impian yang dikongsi semasa jelajahnya dahulu.

“Saya akan terangkan kaedahnya dan kenapa kita perlu menubuhkan Suruhanjaya Perundingan Gaji Negara untuk menetapkan kenaikan gaji tahunan bagi pekerja awam dan swasta agar rakyat Malaysia dibayar setimpal dengan kerja yang dibuat.

“Saya akan huraikan bagaimana GST boleh dimasuhkan. Dan sumber-sumber pendapatan untuk menggantikan GST. Serta kaedah menetapkan harga minyak yang boleh mengekalkan harga minyak serendah RM1.50 seliter.

“Saya akan bentangkan langkah-langkah untuk mengurangkan 6 juta pekerja asing menjadi 500 ribu orang sahaja menjelang tahun 2035,” kata Rafizi menerangkan ‘rangka kerja untuk membina semula negara.

Kini GST telahpun dimansuhkan, namun perkara-perkara lain masih belum terlaksana. Pekerja asing masih lagi ramai, tahap gaji masih seperti itu, minyak belum turun RM1.50 sebaliknya akan naik kerana subsidi bersasar akan dilaksanakan tahun hadapan.

“Anda mungkin tidak sukakan politik. Tetapi orang politiklah yang menentukan gaji anda. Mengutip cukai dari anda. Dan membenarkan kebanjiran pekerja asing yang dibawa masuk oleh majikan.

“Datang berjumpa dengan saya apabila saya singgah di daerah anda. Saya akan berdialog dalam keadaan yang santai. Ada bbq, ada aiskrim, ada kaunter mendaftar undi dan untuk mendaftar sukarelawan,” kata Rafizi dalam video tersebut.

Rakyat kini semakin suka dengan politik. Rakyat rindu untuk berjumpa dengan Rafizi. Rindu untuk berdialog dengannya. Rindu dengan traknya dan rindu untuk makan aiskrim dan bbq bersama-sama.

Perdana Menteri diharap dapat memujuk Rafizi agar tidak berhenti daripada politik dengan memberikannya jawatan menteri. Ini bagi membolehkan dia merealisasikan impiannya untuk membina semula negara.

Rakyat sangat berharap Rafizi akan terus berada dalam arus perdana politik negara. Adalah satu kerugian kepada negara jika kehilangan seorang genius seperti Rafizi.-SM

 

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button