fbpx
Politik

Melayu tak daftar undi sebab lihat ahli politik seolah dirasuk syaitan

PENGARAH Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad menyangkal kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya ramai orang Melayu beragama Islam di negara ini dirasuk syaitan penjajah kerana lemah mendaftar untuk menjadi pengundi.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berpandangan bahawa ramai orang Melayu tidak mendaftar sebagai pengundi disebabkan melihat perangai ahli politik bukannya disebabkan oleh ‘syaitan penjajah’.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, ada ada orang Melayu melihat tingkah lalu ahli politik yang bertindak seperti dirasuk oleh syaitan.

Ini terutama ahli Politik yang menggunakan agama untuk kepentingan politik tanpa menghiraukan halal dan haram sesuatu perkara.

Beliau mendakwa rakyat melihat politik yang diamalkan oleh Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pas sebagai menjijikan.


“Saya rasa mereka tak berdaftar sebagai pengundi kerana melihat ahli politik yang bertindak seolah-olah dirasuk syaitan.

“Khususnya golongan penjual agama yang sanggup menghalalkan yang haram termasuk rasuah, khianat, perkauman dan sebagainya. Politik BN, PN dan PAS dilihat kotor dan jijik,” kata Khalid di Twitternya.

Semalam Abdul Hadi berkata, golongan Melayu beragama Islam yang tidak daftar mengundi didakwa berbuat demikian kerana telah dirasuk oleh ‘syaitan-syaitan’ warisan penjajah dahulu.

Menurutnya, ketika ini kaum Melayu paling lemah untuk mendaftar sebagai pengundi sedangkan dalam masa sama masyarakat bukan Islam berusaha untuk mengambil-alih kuasa politik.

“Hari ini di negara kita, dapat menyaksikan bahawa kaum Melayu yang beragama Islam paling lemah mendaftar untuk menjadi pengundi kerana berjaya dirasuk oleh syaitan-syaitan warisan penjajah dahulu.

“Dalam keadaan bangsa lain yang bukan Islam pula saling berlumba dengan mengambil peluang untuk merampas kuasa politik,” kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan yang dikongsi di media sosialnya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, pengaruh bisikan syaitan penjajah masih menghantui umat Islam khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan Islam.

Kebencian segelintir umat Islam terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang.-SM

(Visited 139 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button