Ekonomi

Marriott International buka tiga lagi hotel di Malaysia

MARRIOT International Inc memperluas operasinya di Malaysia dan memulakan pelan pengembangan hotel, dengan tiga lagi hartanah dalam perancangan pada tahun ini.

Perancangan itu dibuat meskipun Malaysia masih berdepan kesan pandemik COVID-19, yang menyebabkan sekatan pergerakan, dengan hotel tidak dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh.

Naib Presiden Marriott International (Singapura, Malaysia, Maldives) Rivero Delgado berkata pandemik telah memberi impak kepada perniagaan hotel, tetapi ia tidak menghalang pengendali rangkaian hotel multinasional Amerika itu daripada membuat penyesuaian, inovasi atau mengembangkan perniagaannya.

“Pada tahun yang berbeza daripada sebelum ini, keupayaan kami yang terus peka adalah penting berikutan kami melalui situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah. Dalam persekitaran pandemik global ini, kami perlu terus menghadapi cabaran status quo dan menjangka keperluan pelanggan kami yang berubah dengan jenama baharu, lokasi global baharu dan pengalaman baharu,” katanya kepada dalam satu temu bual.

Sejajar dengan strategi pengembangan global, Delgado berkata Marriott membuka hotel jenama Courtyard by Marriott yang pertama di Pulau Pinang pada tahun lalu, dengan 199 buah bilik hotel, adalah penyertaan jenama itu buat kali pertama di negara ini.


Beliau berkata Marriott turut memperluas kedudukannya dengan hartanah Fairfield by Marriott yang kedua, Fairfield by Marriott Kuala Lumpur Jalan Pahang, Four Points by Sheraton Desaru dan Lone Pine Penang, semuanya dijadualkan akan dibuka pada suku keempat tahun ini.

“Kami juga telah menandatangani perjanjian dengan IOI Properties baru-baru ini untuk memperkenalkan hotel jenama Tribute Portfolio yang pertama di Malaysia, Palm Garden Hotel Putrajaya. Sama ada di rumah atau tinggal bersama kami, Marriott International optimis mengenai masa depan Asia dan akan memberikan pengalaman terbaik kepada para tetamu pada tahun akan datang, dengan keselamatan dan kebersihan terus menjadi keutamaan,” katanya.

Marriott International dijangka membuka 100 hartanah di Asia Pasifik pada 2021, selepas meraikan pencapaian pembukaan hotel ke-800 di rantau ini dengan 75 hartanah ditambah dalam portfolionya pada tahun lalu.

“Hampir 27,000 buah bilik telah ditambah dalam pelan pembangunan di rantau ini pada 2020 sahaja. Ini mengenai keyakinan syarikat terhadap perjalanan yang akan dibenarkan,” katanya.

Mengenai perbezaan dalam pelan pengembangan Marriott antara sebelum COVID-19 dan pada masa ini, Delgado berkata masih terdapat banyak yang tidak menentu, berdasarkan situasi pandemik, justeru, pengusaha hotel perlu mengkaji dan menyesuaikan model perniagaannya agar bersesuaian dengan permintaan pasaran yang berubah.

“Kami perlu menyesuaikan semula strategi perniagaan kami dan membangunkan keutamaan perniagaan kami. Orang ramai mahukan pilihan yang berdekatan dengan rumah, lebih mampu milik serta kesihatan dan keselamatan akan menjadi keutamaan. Pelan pengembangan kami di Malaysia dirangka untuk menjangka keperluan ini,” katanya.

Mengenai perniagaan makanan dan minuman (F&B) hotel, Delgado berkata pandemik telah menggalakkan peningkatan dalam perkhidmatan penghantaran makanan dan Marriott menyaksikan peningkatan permintaan terhadap penghantaran makanan.

Oleh itu, hotel Marriott telah memberi keutamaan untuk menerapkan pengalaman baharu dan dipertingkatkan melalui perkhidmatan penghantaran serta secara pengambilan sendiri atau bawa pulang dan ini dapat dilihat melalui kerjasama dengan GrabFood baru-baru ini.

“Kerjasama ini merupakan integrasi pertama Marriott International dengan platform Grab dan perjanjian Grab yang paling komprehensif dengan kumpulan perhotelan setakat ini, menawarkan pengalaman sajian makanan premium kepada pelanggan melalui kemudahan di hujung jari,” katanya.

Sementara itu, baru-baru ini dilaporkan industri perhotelan di Malaysia yang terjejas teruk oleh pandemik menyaksikan sekurang-kurangnya 120 buah hotel telah menghentikan operasi sama ada secara sementara atau selama-lamanya dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM11.3 bilion.

Sehingga Ahad, jumlah kes yang disahkan di Malaysia berjumlah 893,323 kes, dengan kes harian baharu sebanyak 12,541 kes.

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan vaksinasi COVID-19 yang sedang dijalankan, sebanyak 4.16 juta rakyat Malaysia telah divaksinasi sepenuhnya sehingga Ahad, dengan kadar vaksinasi harian meningkat kepada 460,158 orang.

Malaysia kini menjadi antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia, memberikan lebih 400,000 dos sehari, dengan hanya diatasi Kanada pada minggu lepas dalam kalangan negara-negara bersaiz sama atau lebih besar – dan sekali ganda berbanding Australia.

Pada Jumaat, dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara, Indonesia mencatatkan 54,000 kes harian baharu manakala Malaysia (12,541), Thailand (9,692), Myanmar (6,194), Filipina (5,676) dan Vietnam (3,336). Semua negara, kecuali Singapura dan Brunei menyaksikan trend jumlah kes baharu yang meningkat.

Menurut data terkini oleh OurWorldInData.org, dalam kalangan 10 negara anggota ASEAN, Singapura mempunyai liputan vaksin tertinggi dengan 42.4 peratus daripada jumlah penduduk telah divaksinasi sepenuhnya, diikuti Kemboja (24.5 peratus), Malaysia (13.1 peratus), Laos ( 9.4 peratus), Indonesia (5.9 peratus), Thailand (4.8 peratus), Brunei (4.3 peratus), Filipina (3.7 peratus), Myanmar (2.8 peratus) dan Vietnam (0.3 peratus).

Bagi mencapai imuniti kelompok, sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah penduduk perlu divaksinasi sepenuhnya. – BERNAMA

(Visited 75 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button