Nasional

Malaysia sebagai hab umrah rancakkan pelancongan Muslim

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk seri Tiong King Sing telah mewakilkan kepada Timbalannya,  Khairul Firdaus Akbar Khan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) pada 14 Julai 2023.

MKSU diadakan bertujuan untuk membincangkan isu- isu terkini dan cadangan-cadangan dalam pengurusan  umrah antara Kementerian, Agensi dan wakil-wakil Persatuan Pengendali Umrah. Antara Kementerian dan
agensi kerajaan yang hadir dalam mesyuarat ini adalah Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian  Pengangkutan (MOT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan lain-lain agensi berkaitan.

Manakala wakil-wakil Persatuan Pengendali Umrah terdiri daripada  Persatuan Syarikat Pengendalian  Pelancongan Bumiputera (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH), dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

King Sing telah menyampaikan hasrat Kerajaan Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Umrah kepada semua jemaah Islam terutamanya yang dari kawasan rantau Asia Tenggara seperti Singapura, Thailand, Brunei, Filipina, Myanmar, Kemboja, dan juga China, Korea Selatan, dan Jepun yang mana perkara ini telah disampaikan Khairul Firdaus dalam mesyuarat tersebut.

Kerajaan percaya inisiatif ini akan dapat memacu dan merancak industri pelancongan negara secara  keseluruhannya bukan sekadar sebagai negara transit kepada jemaah Islam yang ingin menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci tetapi menawarkan pakej-pakej pelancongan yang berkonsepkan Muslim Friendly kepada para jemaah yang mana secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan negara serta memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Muslim global.

Inisiatif ini adalah selari dengan salah satu tunjang Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 bagi memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari.

Ahli-ahli mesyuarat MKSU juga diberi pendedahan terhadap jumlah kes penipuan melibatkan jemaah umrah di  Malaysia yang mana mendorong MOTAC memperkenalkan Strategi Pemerkasaan Pengurusan Umrah dan  mekanisme Penguatkuasaan Pelancongan Industri Umrah agar industri pengurusan Umrah dapat diperkasakan. MKSU yang bersifat dua hala ini juga memberi peluang kepada MOTAC mendengar isu dan cadangan penambahbaikan pengurusan Umrah yang dihadapi oleh pemain industri pada masa kini.

Dalam memastikan kejayaan pelaksanaan cadangan Malaysia sebagai Hab Umrah, King Sing  juga telah  mengarahkan Bahagian berkaitan untuk mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil persatuan supaya isu dan cadangan tersebut akan diperhalusi dan dapat dipertimbangkan oleh pihak MOTAC untuk dilaksanakan kelak.

Selain itu, ahli mesyuarat MKSU menyokong dan bersetuju cadangan pelaksanaan ke atas beberapa perkara yang melibatkan pemerkasaan pengurusan industri umrah.

Antaranya untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Umrah di rantau Asia. MOTAC akan membawa cadangan ini  dalam Kabinet dan mengenalpasti akta atau peraturan yang bersesuaian dalam melaksanakannya termasuklah
keperluan dan kebajikan yang perlu diberi perhatian terhadap mereka yang akan menunaikan umrah.

Justeru, adalah menjadi harapan MOTAC agar pemain industri dan orang awam terus memberi kerjasama dalam usaha Kerajaan untuk memperkemaskan pengurusan umrah dan secara tidak langsung membantu perjalanan umrah yang lebih teratur. – SM

(Visited 91 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button