Jenayah

Malang lapan lelaki ditahan polis viralkan majlis perasmian di laman sosial

MELAKA 28 Januari – Malang tidak berbau!

Hanya kerana sebuah video diviralkan di laman sosial berkaitan sebuah majlis diadakan di Bukit Piatu, lapan lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun berjaya ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua polisnya, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lapan lelaki berkenaan ditahan daripada 30 individu yang dipanggil ke IPD pada 25 Januari lepas bagi memberi keterangan berhubung video yang diviralkan di laman sosial.

Menurutnya, kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 termasuk lapan lelaki berkenaan serta dua wanita yang hadir pada perhimpunan itu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Jelasnya, mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 P.U (A) 293 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPN 2021.

“Bagaimanapun, lapan daripada mereka terpaksa ditahan kerana disyaki terlibat menjalankan aktiviti sebagai ahli pertubuhan Triad.

“Pertubuhan yang telah diwartakan sebagai pertubuhan menyalahi undang-undang dan kesemua mereka telah mempamerkan lambang tersebut dalam satu majlis di Bukit Piatu, Melaka seperti yang diviralkan di media sosial,” ujarnya di sini hari ini.

Menurut Patit, Triad merupakan sebuah kumpulan kongsi gelap menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sebanyak RM15,000.

Katanya, bagi individu yang menjadi anggota pertubuhan itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda sebanyak RM5,000.

Bagi individi yang mempamerkan apa-apa bendera, lambang atau lencana kongsi gelap pula katanya, mereka boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda RM3,000 kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966.

(Visited 410 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button