Berita

MAIPs laksana plan strategik enam teras

’Perancangan Pelan Strategik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2021-2025’ menuntut keperluan untuk mempersiapkan seluruh ekosistem MAIPs dan agensinya dalam mendepani segala cabaran mendatang.

Berbekalkan perancangan Pelan Strategik ini dan menerusi 6 teras utama iaitu ‘Pemantapan Agihan Holistik’, ‘Kelestarian Khazanah Dan Hasil’, ‘Mercu Tanda Gemilang’, ‘Pengiktirafan dan Penarafan’, ‘Kegemilangan Antarabangsa’ serta ‘Kebanggaan Organisasi Dan Turun Padang’, ia akan menjadi satu kaedah atau panduan dalam mengatur perancangan dengan lebih teliti, berkesan, dan sistematik bagi merealisasikan segala hasrat untuk mencapai sasaran dalam tempoh 5 tahun yang akan datang.

Pada masa yang sama, setiap Pekhidmat Majlis dan kakitangan Agensi-agensi Agama Islam Perlis yang lain perlulah bersama-sama menyiapkan diri dari segi mental dan fizikal dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada Ummah dan merealisasikan pelaksanaan ’Pelan Strategik’ yang telahpun dirancang tersebut.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di ‘Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih Jabatan Dan Agensi Bersama MAIPs bagi Tahun 2020’ yang diadakan di Hotel Putra Regency Kangar pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.


Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang diiringi anakanda sulung, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail lagi, “Menyoroti dan menghayati perjalanan MAIPs sepanjang tahun 2020, kembali mengingatkan kita kepada jatuh bangun sepanjang sejarah penubuhannya. Berbekalkan semangat tidak kenal jemu, serta kekuatan iltizam para pendokongnya, MAIPs seakan tidak kenal erti lelah untuk terus berjuang menjalankan perkhidmatannya kepada Ummah. Peranan MAIPs dan Agensi-agensi Agama Islam Negeri Perlis dalam membantu masyarakat mendepani pandemik Covid-19 juga amatlah dihargai dan ia akan menjadi satu ’bukti’ dalam lipatan sejarah”.

Tuanku Raja Muda turut berharap supaya semua Pekhidmat Majlis akan menyiapkan diri untuk menyahut seruan ‘Pelan Perlis Go Digital’ dalam memberikan perkhidmatan masing-masing yang lebih pantas, tepat dan efisyen.

Di majlis tersebut para khidmat daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Mufti, Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis dan MAIPs sendiri menerima Anugerah Perkhidmatan Terpilih dan Keterampilan masing-masing disaksikan oleh baginda selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

(Visited 57 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button