NasionalNegeri

MAIPs, EIASC jalani kolaboratif di Addis Ababa, Ethiopia

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Ethiopian Islamic Affairs Supreme Council (EIASC) telah julung kali mengadakan jalinan kolaboratif melalui pertemuan yang berlangsung di ibu pejabat EIASC di Addis Ababa, Ethiopia baru-baru ini.

Demikian menurut siaran media MAIPs hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan dipersembah maklum oleh Sheikh Ibrahim Tufa pada pertemuan di pejabat EIASC di Addis Ababa, Ethiopia baru-baru ini. – Gambar Ihsan MAIPs.

Pertemuan bersejarah yang diketuai oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs telah membincangkan beberapa kerjasama pintar antara kedua-dua belah pihak demi kemaslahatan umat.

Keberangkatan tiba Baginda yang diiringi Mufti Perlis, Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor itu disambut oleh Yang DiPertua EIASC, Sheikh Haji Ibrahim Tufa dan Setiausaha Amnya, Sheikh Hamid Mussa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra disambut oleh Sheikh Ibrahim Tufa pada pertemuan yang berlangsung di ibu pejabat EIASC di Addis Ababa, Ethiopia baru-baru ini. – Gambar Ihsan MAIPs.

Dalam hubungan ini, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar hubungan baharu antara MAIPs dan EIASC akan dapat diperhebat demi memastikan kedudukan umat Islam sentiasa dipandang tinggi.

Baginda turut berbangga melihat pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh EIASC dalam melaksanakan pengurusan umat Islam di negara berkenaan termasuk dalam aspek pengurusan persediaan dan perjalanan ibadah haji, selain terlibat secara aktif memberikan perkhidmatan hal ehwal Islam seperti pendidikan, irsyad fatwa, dakwah, pengajian, pengimarahan masjid dan sebagainya.

Antara yang diperbincangkan adalah mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs dan pelaksanaan program mobiliti sarjana akademik ke Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan memberi kurnia kepada Sheikh Ibrahim Tufa pada pertemuan di ibu pejabat EIASC di Addis Ababa, Ethiopia baru-baru ini. – Gambar Ihsan MAIPs

Selain itu, beberapa program antara kedua-dua badan induk Agama Islam ini turut dipersetujui antaranya adalah menerokai program halaqah pengajian turath Agama Islam, pelaksanaan kursus peningkatan profesionalisme pengurusan imam dan program latihan pengurusan hal ehwal Islam secara dalam talian dan juga bersemuka.

Pihak EIASC turut menyatakan hasrat untuk mempelajari dan bertukar pandangan mengenai pengalaman dan kepakaran MAIPs dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam.

Pada pertemuan berkenaan juga, turut dimeterai perjanjian hasrat persefahaman antara kedua-dua setiausaha majlis agama tersebut.

Mohd Nazim menandatangani mewakili MAIPs dan Sheikh Hamid mewakili EIASC yang turut disaksikan oleh Baginda dan juga wakil daripada Kementerian Luar Negeri Ethiopia, Anteneh Fentaw.

Usai pertemuan berkenaan, Tuanku Pemangku Raja bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan melaksanakan lawatan khas ke Kompleks Ibu Pejabat Kesatuan Afrika (African Union) atau A.U. yang menjadi medan perbincangan serta percambahan gagasan pemikiran yang mengabungkan kesemua 55 buah negara-negara di benua Afrika dalam mempertingkatkan hasrat kemakmuran bersama. – SM

BACA MAIPs naiktaraf portal bayaran Julai depan

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button