Bola SepakSukan

Liverpool kunci mulut kes positif coronavirus

LIVERPOOL catat keputusan positif coronavirus sewaktu kem latihan pra-musim di Austria, tetapi akan tetap meneruskan persediaan mereka seperti yang dirancang.

The Reds dalam persiapan bagi mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris di Saalfelden, Salzburg selepas membatalkan perancangan awal bagi mengadakan kem di Evian ekoran penambahan senarai kuarantin Covid-19 oleh Kerajaan Perancis.

Namun, terdapat anggota pasukan itu yang tidak dinamakan telah diuji positif Covid-19, menurut laporan akhbar tempatan, Kronen Zeitung.

The Mirror pula melaporkan, meskipun terdapat kes positif coronavirus, pasukan itu tidak akan menghentikan jadual latihan mereka, dengan kelab masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung laporan berita tersebut.

Liverpool tinggal dan berlatih di hotel Gut Brandlhof dalam usaha mereka meningkatkan kembali tahap kecergasan menjelang Piala Perisai Komuniti pada 29 Ogos ini iaitu 11 hari sebelum perlawanan tersebut dilangsungkan.


Mereka akan terus berlatih sepanjang minggu ini, sebelum beraksi dalam perlawanan pemanas badan menjelang pertemuan dengan Arsenal di Wembley.

Jordan Henderson dan rakan sepasukan yang lain telah menjalani ujian Covid-19, sebelum mereka meninggalkan Merseyside, Sabtu lalu dan menjalani pemeriksaan dari semasa ke semasa sepanjang kem latihan berjalan.

Difahamkan, individu yang diuji positif itu akan menjalani pemeriksaan sekali lagi bagi memastikan kesahihan ujian awal. Jika didapati positif sekali lagi, mereka akan menjalani kuarantin sekurang-kurangnya selama tujuh hari.

Liverpool diasingkan daripada orang ramai di hotel penginapan mereka dan menjalani ujian Covid-19 untuk setiap dua atau tiga hari.

The Mirror melaporkan skuad bimbingan Klopp tidak terjejas ekoran keputusan positif itu dengan pemain meneruskan latihan.

Mereka akan mula mempertahankan gelaran Liga Perdana pada 12 September ini bagi musim 2020/21.
Liverpool terbang ke kem latihan menuju ke destinasi kem latihan yang terletak di pinggir dekat Salzburg, hujung minggu lalu selepas bercuti musim panas yang paling pendek dalam sejarah Liga Perdana. – Daily Mail UK – SM

(Visited 45 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button