fbpx
Nasional

Letak jawatan KP SPRM, Latheefa mahu kembali jadi peguam hak asasi

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya yang telah menyerahkan surat peletakkan jawatan kepada Perdana Menteri Isnin lalu berkata, beliau mahu kembali menjadi peguam hak asasi manusia.

Dalam kenyataan akhbarnya pagi ini, Latheefa yang dilantik ketika pentabiran Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusannya untuk meletakkan jawatan adalah secara sukarela tanpa sebarang paksaan oleh mana-mana pihak.

“Ia adalah keputusan saya sendiri untuk berbuat demikian. Spekulasi bahawa tekanan dikenakan kepada saya adalah tidak berasas.

“Hasrat saya adalah untuk kembali kepada amalan saya sebagai peguam bela hak asasi manusia,” jelas Latheefa.

Menurutnya, dia telah berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddn Yassin semalam dan telah menjelaskan keputusannya untuk melepaskan jawatan tersebut.


Dalam perbincangan yang disifatkan sebagai sangat mesra itu, Perdana Menteri memahami kedudukan Latheefa.

“Saya juga memberi taklimat kepada Perdana Menteri tentang tindakan dan usaha yang sedang dijalankan untuk pemulihan wang 1MDB yang dicuri dari luar negara. Dia menyokong penuh tindakan ini.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepadanya dan kerajaan baru untuk kejayaan dalam memajukan kebajikan dan kepentingan rakyat,” kata Latheefa.

Menurut bekas anggota PKR itu, sepanjang minggu ini beliau telah bertemu dan memberi taklimat kepada timbalannya Datuk Seri Azam Baki serta ketua-ketua jabatan SPRM, untuk memastikan penyerahan tugas secara teratur.

Jelas Latheefa, urusan berjalan seperti biasa di SPRM di tangan pegawai-pegawainya  yang berkebolehan.

“Saya meninggalkan kedudukan saya dengan penuh keyakinan bahawa SPRM akan terus tidak berkompromi dalam memerangi rasuah, tanpa mengira kedudukan atau kesetiaan politik para pelaku.

“Saya berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir, rakan-rakan saya di SPRM dan rakyat atas segala sokongan yang saya terima semasa saya menjadi Ketua Pesuruhjaya. Tuhan memberkati negara kita!” kata Latheefa.-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button