BeritaNasional

7,000 murid KAFA cipta rekod MBOR, hasilkan peta minda terbanyak

SERAMAI 7,000 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Pulau Pinang hari ini memahat catatan dalam Malaysia Book of Records (MBOR), selepas berjaya menghasilkan 1,414 buah peta minda berkonsepkan pembelajaran ibadah haji.

Peta minda itu dihasilkan menerusi Pameran Peta Minda Haji KAFA Pulau Pinang, yang dirancang oleh Ikatan Guru dan Penyelia KAFA Pulau Pinang dalam program yang berlangsung selama dua hari.

Sijil pengesahan rekod terbaharu itu diserahkan oleh pegawai MBOR, Lee Pooi Leng kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Rosli Othman.

Rosli berkata kejayaan itu berjaya dicapai dengan kerjasama 280 kelads KAFA di seluruh Pulau Pinang dan pengiktirafan itu adalah pengiktirafan tertinggi yang julung kali dirangkul mereka.

Beliau berkata, KAFA Pulau Pinang kini dalam perancangan untuk mengadakan beberapa program pada tahun depan yang diharapkan bakal merangkul pengiktirafan MBOR seterusnya.

“Ia bakal memfokuskan pembelajaran anak-anak kecil dalam aspek syariah dan mata pelajaran lain terutamanya sejarah nabi dan para sahabat,” katanya selepas majlis penutupan program itu di Kepala Batas semalam yang disempurnakan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd. Jamil Mohamed.

Sementara itu, Mohd Jamil berkata penganjuran program seumpama itu dapat menonjolkan dimensi baharu dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Islam pada alaf 21.

“Inilah yang diharapkan dalam dimensi baharu pendidikan di alaf 21. Perubahan bukan sahaja dalam mata pelajaran yang lain tetapi juga bagi pendidikan Islam, perlu dilakukan bersama seiring dalam perubahan yang berlaku.

“Pameran ini adalah program khusus bagi mendedahkan anak-anak dalam ibadah rukun Islam kelima iaitu ibadah haji. Ia merupakan usaha yang baik oleh guru-guru KAFA dalam usaha meluaskan kreativiti serta minat anak-anak yang berbeza,” katanya. – BERNAMA

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button