Nasional

Lelaki Nigeria tiada dokumen perjalanan sah lari sekatan polis ditahan

SEORANG lelaki warga Nigeria ditahan kira-kira empat jam selepas dia melarikan diri daripada sekatan polis di Plaza Tol Kajang, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.25 tengah hari semalam.

“Lelaki Nigeria itu enggan melalui sekatan jalan raya dan cuba berpatah balik walaupun lalulintas sesak ketika itu.

“Kita telah mengejar suspek namun dia enggan berhenti sehinggalah dia berjaya ditahan di persimpangan lampu isyarat merah.

“Namun, ketika pemeriksaan cuba dilakukan, suspek telah memecut laju dan terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Sabri, suspek bagaimanapun berjaya ditahan kira-kira empat jam selepas itu di perkarangan kawasan meletak kenderaan di Jalan Ikram-Uniten, Kajang.

Ujarnya, hasil pemeriksaan juga mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk berada di Malaysia.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boeh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Shafiq Zahari di talian 011-11244128. -SM

(Visited 130 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button