NasionalNegeri

956 petani MADA 1 Perlis terima wang ihsan TBTP RM1.3 juta

SEBANYAK 956 petani kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Perlis menerima Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM1.3 juta.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, petani ini terjejas akibat bencana banjir dan padi rebah yang berlaku sekitar bulan Mei sehingga September 2021.

“Keseluruhannya kerosakan ini melibatkan kawasan sawah seluas 840.6 hektar,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan berkenaan di Dewan Warisan, Kangar, petang semalam.

Azlan Man, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Nurulhisham Yaakob bergambar bersama dengan penerima Bantuan Wang Ihsan TBTP di Dewan Warisan di Kangar petang semalam.

Perasmian telah dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man. Hadir sama Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Nurulhisham Yaakob.

Ahmad Tarmizi berkata, kawasan sawah yang dilanda banjir dan padi rebah ini melibatkan lima lokaliti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di Wilayah MADA 1.

“Ia termasuk PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) MADA A-1 Arau, PPK MADA B-1 Kayang, PPK MADA C-1 Kangar, PPK MADA D-1 Tambun Tulang dan PPK MADA E-1 Simpang Empat,” katanya.

Beliau berkata, kadar bantuan yang diberi berdasarkan kepada tempoh usia pokok padi yang rosak akibat ditenggelami air dan rebah.

“Bagi pokok padi yang berusia 1 hari sehingga 70 hari, kerajaan memperuntukan bayaran sebanyak RM876.00 per hektar,” katanya.

Tambah beliau, bagi pokok padi berusia 71 hari keatas, bantuan yang diberikan sebanyak RM1,800 per hektar.

Ahmad Tarmizi berkata, MADA juga telah mengambil pendekatan jangka panjang bagi menyelesaikan masalah pengairan dan saliran di Wilayah 1, Perlis melalui Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier.

“Bagi tahun depan, MADA telah merancang pembangunan 8 blok pengairan yang memberi manfaat kepada 4,900 hektar kawasan penanaman padi di Perlis,” katanya.

Katanya, Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier bagi Blok Pengairan ALBD 2 dan 3 sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada bulan Mei tahun depan dengan kos RM25.9 juta.

“Untuk Projek Pembangunan Sistem Pengairan Tersier bagi Blok Pengairan ARBD 7b & ARBD 7c,d,e pula dijangka akan ditawar untuk pembinaan pada bulan ini,” ujarnya.

Katanya lagi, tahun ini MADA telah merancang kerja-kerja penyelengaraan dan pembangunan di MADA Wilayah 1 Perlis dengan kos bernilai RM1.025 juta.

Beliau berkata, MADA juga mencadangkan kerja-kerja pembangunan di Wilayah 1, Perlis dengan menggunakan Peruntukan Pembangunan RMK-12 (RP3) pada tahun  2023 dengan kos peruntukan sebanyak RM3.01 juta. – SM

(Visited 407 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button