Ekonomi

Kumpulan AmBank rangkul empat anugerah pada Majlis Anugerah Tahunan FINCO 2023

AmBank mendapat pengiktirafan atas pencapaian cemerlangnya dengan meraih empat anugerah berprestij pada Majlis Anugerah Tahunan Financial Industry Collective Outreach (FINCO) 2023.

Penghargaan itu sebagai tanda bukan sahaja mengiktiraf komitmen warga kerja Kumpulan AmBank tetapi juga menyerlahkan dedikasi organisasi dalam memberi impak positif kepada masyarakat melalui inisiatif sukarelawan yang aktif dan berinteraksi.

Anugerah yang diterima termasuk Overall Banking Financial Institution with the Most Volunteers 2023, yang mana AmBank telah menyumbang sebanyak 138 tugasan yang merangkumi sehingga 539 jam waktu kerja sukarela, dan juga anugerah Best Coordination Lead 2023.

Hadir pada
majlis anugerah itu adalah Timbalan Pengarah, Penyelidikan dan Penilaian, Kementerian Pendidikan, Dr Ruhaya Hassan, Pengerusi Emeritus/Penasihat Kehormat Kumpulan AmBank yang juga Pengerusi FINCO, Tan Sri Azman Hashim, dan Ketua Pegawai Eksekutif FINCO, Clare Walker.

Dua lagi anugerah dimenangi oleh dua sukarelawan yang berdedikasi dan komited iaitu Highest Repeat Volunteer 2023 dengan mencatatkan 12 tugasan sukarelawan dan sehingga 24.5 jam waktu kerja sukarela, yang dianugerahkan kepada Penyelaras Program, Projek Khas, ESG, FINCO, Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan, Kumpulan AmBank, Kartini Miswan, dan anugerah Most Engaging Volunteer 2023 yang diberikan kepada Penolong Pengurus, Komunikasi Strategik & Perhubungan Media, Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan, Kumpulan AmBank, Jeevanaraj a/l Pariyadan.

Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Ketua Sumber Manusia Kumpulan AmBank, Rohani Mustaffa, berkata: “Di AmBank, kami percaya kepada kuasa transformasi pendidikan dan literasi kewangan.

“Penghargaan ini menyerlahkan lagi komitmen kami untuk membentuk masa depan yang lebih cerah dengan melengkapkan minda belia dengan kemahiran hidup yang penting, kerana kami berbangga memperjuangkan inisiatif sukarelawan kami.

“AmBank benar-benar berbesar hati menerima anugerah ini daripada FINCO sekaligus mengiktiraf komitmen kami untuk membentuk masa depan yang lebih baik melalui pendidikan dan pemerkasaan komuniti.

“Keterlibatan kami dalam tonggak strategik FINCO iaitu penguasaan bahasa Inggeris, aspirasi hidup, literasi kewangan, dan pengurusan bencana mencerminkan dedikasi kami untuk memupuk pertumbuhan holistik dan daya tahan dalam komuniti kami.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan cemerlang kami di AmBank yang telah menunjukkan semangat jati keperihatinan dan penglibatan masyarakat yang sebenar. Masa dan usaha anda menjadi penggerak di sebalik misi kolektif kami untuk mencipta perubahan yang bermakna, dan kami benar-benar bertuah mempunyai individu yang luar biasa membentuk budaya kami untuk terus memberi khidmat kepada komuniti.”

Majlis yang berlangsung pada 5 Disember 2023 di Auditorium Azman Hashim, Bangunan AICB itu dihadiri lebih 200 orang tetamu yang terdiri daripada wakil institusi kewangan, pegawai dari Kementerian Pendidikan serta pelajar, ibu bapa, guru dari pelbagai sekolah yang terlibat dalam program FINCO.

FINCO adalah inisiatif kerjasama yang dipelopori oleh institusi kewangan di Malaysia dengan bimbingan Bank Negara Malaysia untuk menyediakan panduan dan alat pendidikan kepada kanak-kanak dan belia yang kurang bernasib baik untuk mencapai matlamat hidup mereka.

FINCO berusaha untuk mencapai objektif ini melalui inisiatif pendidikan inklusif di bawah empat pilar strategik iaitu, Penguasaan Bahasa Inggeris, Aspirasi Kehidupan, Literasi Kewangan dan Pengurusan Bencana. Sehingga kini terdapat lebih daripada 180 warga AmBankers yang telah mendaftar sebagai sukarelawan FINCO. – SM

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button