Berita

Koronavirus: Penerbangan dari Sabah ke Wuhan dihentikan

KOTA KINABALU, 26 — Semua penerbangannya dari Sabah ke Wuhan, China telah dihentikan berikutan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) yang melanda wilayah berkenaan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew.

Beliau berkata setiap minggu terdapat 14 penerbangan ke Wuhan, China dan penerbangan itu akan beroperasi semula apabila wabak Koronavirus dapat diselesaikan.

“Hanya penerbangan ke Wuhan dihentikan dan penerbangan ke wilayah lain di China masih berjalan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina peringkat negeri Sabah, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Ditanya sama ada wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pengunjung atau pelancong ke Sabah, Christina berkata tidak dinafikan bahawa wabak berkenaan menjejaskan kehadiran pelancong khususnya daripada China.

“Untuk tahun ini kita belum meletakkan sasaran kehadiran pelancong kerana kita telah menghadapi cabaran bermula awal tahun apabila adanya wabak koronavirus…dan saya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pelancongan Sabah mengenai perkara itu sebelum ia diumumkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus, khususnya pemeriksaan kesihatan kepada individu yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Kita bukan sahaja membuat pemeriksaan kepada pelancong…kita juga buat pemeriksaan terhadap rakyat kita yang baru balik dari melancong. Kita tidak tahu dari mana mereka melancong, oleh itu mereka juga harus mendapatkan pemeriksaan,” katanya.

Diminta mengulas mengenai beberapa hotel di Sabah telah mengeluarkan larangan memakai penutup mulut kepada pekerjanya untuk menjaga hati pelancong, Mohd Shafie berkata pihaknya akan melihat perkara itu.

“Apa yang penting adalah menjaga di pintu masuk Sabah. Namun saya akan melihat isu ini dan saya yakin tidak semua hotel mengeluarkan arahan itu. Kita akan bekerjasama erat dengan kementerian kesihatan untuk membendung masalah ini,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button