Nasionalpilihan

Nelayan harap isu pampasan tidak tertangguh lagi

Ketua lapan pengkalan nelayan di Pantai Kundor hingga Klebang melahirkan rasa lega dengan arahan terbaharu daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta Tanjung Bruas Port menjelaskan bayaran pampasan bagi projek pemanjangan jeti selewat-lewatnya sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Kali ini mereka mengharapkan Tanjung Bruas Port akur dengan arahan tersebut agar masalah tersebut diselesaikan segera selepas berlanjutan hampir tiga tahun.

Aziz Jaafar.

Ketua Pengkalan Nelayan Kampung Hailam, Aziz Jaafar, 58, berkata, dia berharap masalah tunggakan pampasan dapat diselesaikan segera dan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Tiga tahun lamanya seramai 243 nelayan dan awak-awak menanti janji pihak berkenaan untuk melunaskan bayaran pampasan tetapi tidak ada khabar berita walaupun rundingan telah kerap diadakan.

“Saya harap arahan daripada Ketua Menteri kali ini tidaklah perkara ini diheret hingga ke satu tempoh yang tidak pasti,” ujarnya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi di Pejabat Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) di sini hari ini.

Semalam Sulaiman sekali lagi mengarahkan Tanjung Bruas Port menjelaskan bayaran yang tertunggak kepada nelayan dari lapan pengkalan selewat-lewatnya sebelum puasa atau sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Rosli Ahmad.

Bagi Ketua Nelayan Pengkalan Pantai Rombang Rosli Ahmad, 53, berkata, dia mengucapkan terima kasih atas campur tangan Ketua Menteri sekali lagi bagi mendesak bayaran pampasan dibayar sebelum sambutan Aidilfitri.

Katanya, dia harap kali ini pihak Tanjung Bruas Port menunaikan janji selepas tiga tahun mereka menunggu.

“Kalau pihak terbabit terus tidak ambil peduli kita seluruh nelayan di lapan pengkalan tidak akan putus asa untuk mendesak sehingga hak kami diberikan,” ujarnya.

Zamzuri Abdullah.

Dalam pada itu Ketua Nelayan Pengkalan Perigi Zamzuri Abdullah berkata, pihak Tanjung Bruas Port sudah boleh mengadakan rundingan pihak nelayan bagi mencapai kata putus jumlah tunggakan untuk diberikan.

Katanya, kalau boleh pampasan yang bakal diperolehi nelayan tidak terlalu rendah tetapi cukup setimpal dengan kerugian yang dialami mereka ekoran pemanjangan jeti sepanjang 50 meter.

“Saya harap arahan daripada Ketua Menteri menjadi titik noktah terhadap kemelut yang sudah berlarutan hampir tiga tahun,” ujarnya. – SM

(Visited 136 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button