fbpx
Nasional

Kewangan sosial Islam membantu tingkatkan prasarana pendidikan – Raja Muda Perlis

Kewangan sosial Islam seperti sedekah dan wakaf dilihat berpotensi dalam membantu mempertingkatkan prasarana pendidikan negara.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Derma Kangar sempena program ‘MAIPs Peduli Kali ke-39 bagi tahun 2020’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman dan Pengetua sekolah Fauziah Abd Hamid.

Jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, peranan sedekah dan wakaf dilihat sangat signifikan dengan usaha untuk melibatkan masyarakat dalam menggembeleng usaha bersama ke arah peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran samada melalui pembinaan kurikulum yang mapan selain penyediaan kemudahan fizikal yang kondusif untuk manfaat pelajar dan warga pendidik.

“Kesungguhan tekad dan sikap murah hati rakyat Perlis selama ini telah membantu dalam mewujudkan pelbagai inisiatif mempertingkatkan prasana pendidikan. Sebagai contoh, kewangan untuk mendirikan bangunan sekolah dan penyelenggaraan Derma English School pada awal 1949 hanyalah datang daripada derma rakyat negeri Perlis yang terdiri daripada pesawah dan potongan gaji para kakitangan kerajaan pada ketika itu,” tambah baginda.


Menurut Tuanku Raja Muda, perkara sama juga membolehkan penubuhan Al-Madrasah Al-Alawiyah Al-Diniah pada 1930 melalui sumbangan zakat dan fitrah daripada masyarakat selain pembinaan bangunan sekolah berkenaan yang siap pada tahun 1936 juga daripada sumbangan zakat.

Pada kesempatan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan seorang alumni bekas pelajar sekolah kluster kecemerlangan kebangaan negeri Perlis berkenaan yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor turut berkenan meninjau kerosakan sebahagian bumbung bangunan Blok C di SMK Derma yang runtuh dipercayai berpunca daripada keadaan struktur yang sudah lama rosak dan reput, akibat dimakan anai-anai.

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button