Nasional

Alasan faktor cuaca penerbangan ditunda boleh diterima- Ka Siong

ALASAN penundaan penerbangan hanya dapat diterima sekiranya membabitkan faktor cuaca sahaja dan bukannya dari sudut kejuruteraan atau penyelenggaraan.

Itu kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu penundaan penerbangan yang berlaku baru-baru ini.

Menurut Ka Siong, beliau sendiri melihat kelewatan penerbangan yang agak “luar biasa” dan perkara berkenaan tidak boleh dijadikan sebagai budaya atau tabiat.

“Saya minta syarikat penerbangan ini jangan ambil mudah tentang kelewatan.

“Sekiranya sebab teknikal, kita tidak bertolak ansur, kita tak kompromi. Kalau dari segi ‘engineering’, sesuatu alat ganti belum lagi siap atau faktor penyenggaraan, kita tak benarkan.

“Faktor cuaca, ya … ini memang kita faham kerana di luar kawalan. Tetapi sebab mereka boleh mengatur dari awal sampai penerbangan akhir, dari permulaan pun sudah lewat, akhirnya semua lewat,” katanya memetik laporan Awani.

Ka Siong berkata, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) perlu tangani masalah atau isu penundaan penerbangan dengan teliti.

Beliau turut menegur “tabiat” syarikat penerbangan tertentu yang sering menunda jadual penerbangan.

“Ada syarikat penerbangan saya nampak kelewatan agak luar biasa. Itu perlu kita ambil tindakan cepat.

“Sepatutnya (pihak) pengurusan perlu bagi tahu kepada pengguna lebih awal, dan sistem penjadualan perlu dilihat semula.

“Saya tidak mahu orang anggap itu budaya kita. Because Punctuality is very important. Kena jaga dan lindungi pengguna,” ujarnya.

Semalam, Mavcom dalam kenyataannya memaklumkan, AirAsia mengendalikan 2,954 penerbangan yang mana 13% atau 368 penerbangan tertunda melebihi satu jam.

Dalam kenyataan yang sama, Mavcom berkata, ini diikuti Malaysia Airlines yang mengendalikan 1,447 penerbangan dengan mencatatkan 3% atau 44 penerbangan tertunda.

“Selain itu, MASwings mengendalikan 656 penerbangan dengan 10% atau 64 penerbangan tertunda, manakala penerbangan Firefly turut tertunda sebanyak 2% atau 15 penerbangan daripada 680 penerbangan dikendalikan,” katanya.

Katanya lagi, Batik Air (sebelum ini dikenali sebagai Malindo Air) yang mengendalikan 555 penerbangan mencatatkan 1% atau empat penerbangan tertunda.

Semua statistik dikeluarkan berdasarkan tempoh perjalanan ketika Aidilfitri, baru-baru ini. – SM

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button