fbpx
Nasional

Dr. Mahathir berkongsi pengalaman dikuarantin

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah berkongsi pengalaman menjalani kuarantin di blog Chedet.

Beliau yang disahkan negatif Covid-19 baru-baru ini bagaimanapun telah menjalani kuarantin sendiri selama 14 hari seperti mana yang diperlukan oleh mereka yang pernah menemui atau bersama individu yang positif wabak ini.

Berikut adalah catatan beliau:

Hari ini 18 Mac, saya di rumah. Saya telah dikuarantin, dikehendaki duduk di rumah kerana Kerajaan telah laksanakan perintah kawalan pergerakan bagi mencegah penularan Coronavirus.

 Pada 12 Mac lalu, saya bertemu dengan sekumpulan Ahli Parlimen muda dari Pakatan Harapan, untuk menerangkan apa sebenarnya yang berlaku. Selesai pertemuan dan mereka memohon untuk ambil gambar. Saya tak fikir banyak. Saya tak fikir siapapun yang telah dijangkiti. Mereka mengelilingi saya dengan rapat supaya muat dalam gambar.


Pada 17 Mac, pembantu saya, Sufi menunjukkan gambar tersebut dan maklumkan salah satu dari mereka ialah Ahli Parlimen dari Sarawak telah disahkan positif COVID-19 setelah membuat ujian.

BERITA BERKAITAN:

Saya tak fikir sangat tentang itu. Saya dalam keadaan sihat. Ramai juga pelawat yang beritahu saya nampak sungguh sihat. Tetapi pihak berkuasa berlainan pendapat. Satu pasukan doktor dan jururawat tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana tempat saya bekerja dan mereka hentikan saya semasa saya hendak pulang makan tengahari.

Mereka ambil satu sampel ‘swab’ memintak saya kuarantin diri selama 14 hari dari tarikh pertemuan tersebut.

Jadi, saya di sini, melalui kurantin di rumah. Saya telah menasihati rakyat supaya serius tentang pandemik ini. Saya telah buat rakaman video mengenainya. Sekarang saya perlu serius dan menerima dikuarantin.

Coronavirus ini adalah sesuatu yang tak wujud sebelum ini. Ia mudah dijangkiti atau berjangkit dan membawa kepada beberapa kes kematian. Tiada ubat atau vaksin untuk melawan. Apa yang kita buat ialah merawat gejala seperti demam, batuk, sesak nafas dan sekiranya paru-paru dijangkit orang tua, anda boleh mati. Saya sudah tua, 94 tahun.

Bentuk ancaman Covid-19 ini disebabkan mudahnya dijangkiti dan kemungkinan maut. Untuk mengurus jangkitan dan penularan, pengasingan manusia amatlah diperlukan. Oleh sebab kita tidak tahu siapa yang ada virus ini, setiap seorang perlu menjarakkan diri antara satu sama lain.

Secara lahiriah, manusia suka berkawan, untuk menjarakkan jutaan manusia dari satu sama lain amatlah sukar. Apabila kita bekerja, berjalan, bermain, menonton perlawanan atau di pawagam kita mahu bersama.

Bila dalam perjalanan, biasanya kita berada dalam ruang terhad dan rapat menjadikan kita dekat satu sama lain. Untuk mengelakkan ini berlaku, kita perlu henti perjalanan. Ini akan memberi kesan buruk kepada industri pelancongan. Di banyak kawasan menunjukkan penurunan sebanyak 70%.

Syarikat penerbangan menderita. Industri pelancongan menderita. Hotel, pengangkutan awam, restoran turut rugi. Para pekerja turut menderita kerana mereka akan dibuang. Majikan tidak membuat untung bagi menampung pekerja.

Bagi Malaysia, industri pelancongan merupakan kedua terbesar penghasilan tukaran asing selepas Petronas. Kerajaan akan kehilangan pendapatan.

Rakyat yang bekerja dalam industri pelancongan akan kehilangan kerja dan pendapatan. Ini amatlah buruk kerana mereka perlu makan dan minum.

Di Malaysia industri Petroleum tidaklah besar. Tetapi ianya penyumbang terbesar pendapatan Kerajaan. Pada satu satu masa Petronas membayar Kerajaan sebanyak 80 bilion Ringgit. Harga bagi setong minyak mentah bagi tahun 2020 diikat pada USD63 setong. Sekarang ini dijual kurang dari 50% seperi harga yang dianggarkan. Pendapatan Kerajaan akan jatuh kepada 30 bilion.

Pakej rangsangan menyebabkan kenaikan perbelanjaan Kerajaan dan menyaksikan penurunan cukai. Untuk mengimbangi lebihan perbelanjaan dengan pengurangan pendapatan Kerajaan adalah merupakan sesuatu yang mencabar.

Pada masa yang sama, perintah kawalan pergerakan akan mengurangkan perniagaan dan pendapatan. Sekali lagi, pendapatan Kerajaan terkesan.

Bagi syarikat kecil, kerugian amat dahsyat. Mereka ini kais pagi makan pagi. Sungguhpun mereka mampu berniaga ianya masih tidak cukup untuk belanja makan. Kerajaan mungkin perlu beri sokongan pendapatan buat mereka.

Apa yang berlaku di Malaysia juga berlaku di seluruh dunia. Industri-industri perlu berhenti atau paling tidak kurangkan pengeluaran. Import dan eskport juga terkesan. Seluruh dunia bakal mengalamai kemelesetan ekonomi. Negara kaya turut menderita.

Sesungguhnya kita sedang menghadapi malapetaka yang amat dahsyat.

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button