fbpx
Mahkamah

Kes rogol pembantu rumah babitkan ADUN Tronoh, sebutan semula 16 Julai depan

MAHKAMAH Sesyen Ipoh menetapkan 16 Julai ini bagi sebutan semula kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Harith Mohamed Yasin menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas peguam tertuduh, Farhan Sapian memaklumkan, pihaknya menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman.

Ketika prosiding pengurusan kes hari ini, Naidatul Athirah berkata, pihaknya memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan kerana kes telah ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

“Kes ini di bawah kod kakitangan kerajaan tetapi telah hampir setahun masih belum berjalan (perbicaraan) lagi dan mangsa juga  masih dalam perlindungan,” katanya seperti mana dilaporkan oleh BERNAMA.


Sementara itu, Farhan, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, Mahkamah Sesyen telah menetapkan tarikh sebutan semula dahulu sementara menunggu tarikh dari Mahkamah Persekutuan.

“Pihak pendakwaan telah mohon tarikh bicara ditetapkan namun demikian hakim mahkamah telah bersetuju menetapkan tarikh sebutan semula terlebih dahulu memandangkan rayuan telah disediakan dan dihantar ke Mahkamah Persekutuan, tunggu tarikh sahaja,” katanya.

Pada 5 Disember tahun lalu, Hakim Sesyen Norashima Khalid menetapkan tarikh perbicaraan Yong, yang merupakan bekas Exco negeri pada 10 hingga 14 Februari 2020.

Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya di sebuah rumah di Meru Desa Park di antara pukul 8.15 malam dengan 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pada 10 Februari lalu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Paul Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya, daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button