Nasional

Kes Covid-19 di Langkawi tiada yang babitkan pelancong

SEMUA kes Covid-19 di Langkawi tidak membabitkan pelancong domestik selepas lima hari pulau itu dibuka menerusi projek rintis gelembung pelancongan.

Setakat ini penularan COVID-19 hanya membabitkan penduduk tempatan sahaja.

“Keadaan ini membuktikan kejayaan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah projek rintis berkenaan. Tiada kes jangkitan dikesan membabitkan kedatangan pelancong domestik.

“Ini kerana kerajaan sudah menggariskan SOP yang baik di bawah projek gelembung pelancongan. Saringan ujian COVID-19 dibuat di lokasi pelepasan sebelum ke Langkawi turut membantu menghalang individu yang positif daripada memasuki Langkawi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam) mengenai kesan pelaksanaan SOP kepada pelancong dalam sektor pelancongan di Langkawi dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.


Setakat ini, Mohd Firdaus berkata, diunjurkan seramai 200,000 pelancong akan memasuki Langkawi sehingga hujung tahun ini.

Katanya, Kementerian Pelancongan juga sudah mengumumkan bahawa sektor pelancongan lain akan mula dibuka pada 1 Oktober ini setelah melihat perkembangan yang positif di Langkawi.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus, berkata pembukaan Jeti Kuala Kedah yang menjadi antara laluan utama ke Langkawi esok, diyakini mampu memberi kesan positif kepada penduduk di pulau itu terutamanya peniaga.

“Ketika jeti ini ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini, kesannya memang terasa kerana pelancong terpaksa ‘dilencongkan’ ke Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Langkawi.

“Insya Allah apabila jeti itu kembali dibuka esok, kita akan melihat rakyat di Kuala Kedah dapat turut menikmati kesan pembukaan Langkawi,” katanya.

(Visited 29 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button