NasionalNegeri

Anak Sungai Siput Utara dinobat Tokoh TVET POLIMAS, Jitra

ANAK kelahiran Sungai Siput Utara, Perak telah dinobatkan sebagai Tokoh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena Hari Akademia POLIMAS bagi tahun 2023.

Fuahaidi Zulkifli, 59, selaku Pensyarah Utama ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Syariah Peradilan Islam dari Universiti Islam Negeri Ar-Raniry, Banda ,Acheh, Indonesia dan Diploma Pendidikan dalam Bahasa Arab dan Pendidikan Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi, Masjid Tanah, Melaka sebagai Guru Pendidikan Islam sebelum menjadi Pensyarah di Kolej Komuniti Alor Gajah dan di Masjid Tanah, Melaka sekitar tahun 2006 hingga 2009.

Fuahaidi telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan di Kolej Komuniti Kulim pada tahun 2010 sehingga dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Kolej Komuniti Padang Terap, Kedah pada tahun 2014.

Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Pensyarah Utama sebelum ditukarkan ke Kolej Komuniti Bandar Darul Aman sebagai Ketua Unit Penyelidikan dan Inovasi , Ketua Unit Kolaborasi dan Ketua Unit Pelan Startegik dan bertugas selama 3 tahun.

Hasil dari kecemerlangan kerjaya telah membolehkan beliau dinaikkan pangkat ke Pensyarah Utama Gred 54 sehingga kini di POLIMAS dan memegang tugas sebagai Ketua Unit Pengurusan Strategik, Prestasi dan Risiko.

Fuahaidi (dua dari kanan) menerima Sijil Penghargaan dan Cenderahati selepas di nobatkan Tokoh TVET POLIMAS 2023. – Gambar Ihsan POLIMAS

 

Fuahaidi ketika ditemubual merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan diatas anugerah ini sebagai menghargai sumbangannya dalam pendidikan khususnya TVET.

“Segala tugasan yang diberikan dilaksanakan demi ingin melihat anak-anak bangsa berjaya dan untuk mempertingkatkan ekonomi mereka terutama kepada masyarakat bumiputera yang jauh ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dalam ucapannya ketika merasmikan Hari Akademia POLIMAS 2023 berkata, majlis ini diadakan untuk memberikan penghargaan kepada ahli akademik dan juga warga POLIMAS.

“Ia juga untuk menghargai jasa mereka yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan aktiviti dan program POLIMAS di sepanjang tahun,” katanya.

Pihak pengurusan POLIMAS turut memberikan penghargaan kepada 8 anugerah istimewa sempena Hari Akademia POLIMAS.

Anugerah Akademia Sukarelawan kepada Abdul Rahim Che Dollah dari Jabatan Kejuruteraan Awam, Anugerah Akademia Keusahawanan (Asmaniza Ibrahim dari Jabatan Matematik, Sains dan Komputer) Anugerah Ko-Kurikulum (Syaiful Nazli Selamat), Anugerah Penyelidikan Inovasi (Ts Afzanizam Alias dari Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi).

Anugerah Akademia Penerbitan (Husna Mat Salleh dari Jabatan Matematik, Sains dan Komputer), Anugerah Akademia Sepanjang Hayat (Muhamad Syamsyul Che Su), Anugerah Akademia Kolaborasi (Viranee Intachat dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik) dan Anugerah Khas Sokongan Akademik (Mohd Suhaimi Md Nor).

Semua anugerah tersebut telah disampaikan oleh Rosli dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Hamizi Yahya.

Turut serta dalam majlis yang telah diadakan ini ialah Timbalan Pengarah  Akademik , Salmiyah Che Ahamd serta Ahli Mesyuarat Pengurusan POLIMAS. – SM

(Visited 261 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button