Nasionalpilihan

Tangan kudung tapi hebat bermain drum

DI MANA ada kemahuan di situ ada jalan. Itu menjadi pegangan hidup seorang lelaki yang kudungtangan sebelah kiri sejak lahir.

Seperti tidak percaya melihat Abdul Wahid Adam, 36, bermain drum setanding dengan orang yang cukup sempurna dan sifat.

Walaupun menggunakan sebelah tangan bermain drum, dia langsung tidak kekok serta dapat membawakan pelbagai rentak lagu dari inang, joget, slow rock, ballad, dangdut dan sebagainya.

Buat Abdul Wahid berkata, dia tidak merasa kekurangan pada dirinya menjadi penghalang untuk memenuhi cita-cita ingin menjadi pemain drum terhebat.

Abdul Wahid Adam (drum) bersama kumpulannya membuat persembahan di kaki lima Melantak Steak Hub, Bazar Aidilfitri Mega Klebang, Melaka.

“Mungkin ramai tidak percaya saya bermain drum menggunakan sebelah tangan dan tidak seperti orang lain yang cukup sifat menggunakan dua belah tangan.

“Kadang-kadang bila di majlis perkahwinan, orang ramai tidak perasan saya bermain drum menggunakan sebelah tangan disebabkan set drum diletakkan di belakang sekali.

“Saya buktikan kepada mereka yang senasib dengan saya bahawa kekurangan pada diri kita jangan dijadikan alasan mengapa kita tidak boleh berjaya,” ujarnya ketika ditemui malam tadi.

Dia bersama kumpulannya dibarisi Shamsuddin Abdullah (bass), Marof Razak (gitar) dan Muhamad Syafiq (penyanyi) kini bermain di kaki lima hadapan Melantak Steak Hub, Klebang menghiburkan pengunjung
di Bazar Aidilfitri Mega Klebang setiap malam.

Abdul Wahid berkata, dia tidak merasa kekok bermain kerana menggunakan dua batang drum yang diikat dengan getah untuk mudah dia mengetuk drum mengikut genre lagu yang dimainkan.

Menurutnya, dia mengambil masa hampir 15 tahun sebelum dapat bermain drum setanding dengan orang yang menggunakan kedua-dua belah tangan.

Katanya, sejak zaman remajanya dia mula berlatih bermain drum tanpa menghadiri sebarang kelas tetapi diajar oleh rakan pemuzik sewaktu bekerja di Kuala Lumpur.

Ujarnya, atas kecekalan dan semangat yang tidak luntur kerana kekurangan pada dirinya dia kini mampu bermain drum dengan pelbagai rentak setanding pemain drum yang menggunakan kedua-dua belah
tangan.

“Saya diterima bermain dengan kumpulan Gabungan Anak Seni Bukit Pulau setelah mereka kagum dengan kebolehan saya walaupun hanya menggunakan sebelah tangan,” ujarnya. – SM

(Visited 418 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button