NegeriTravel

Kenderaan bawa pelancong ke Thailand dipelawa “side trip”di Perlis

AGENSI pelancongan, syarikat bas serta van membawa pelancong Malaysia melalui jalan darat Ke Thailand dipelawa singgah di Perlis sebagai ‘side trip’ atau persinggahan pendek.

Sebarang saranan bagi menambah baik serta melicinkan lagi proses pelaksanaan dokumentasi di sempadan Perlis oleh pihak-pihak bertanggungjawab juga dialukan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar dengan Muhammad Akmal dan pegawai-pegawai perwakilan di Pejabat Konsulat Malaysia di Kunming, China.

Ia secara tidak langsung akan membantu mempromosikan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan persinggahan singkat tersebut juga diharap mampu mengundang para pengunjung tersebut untuk kembali ke Perlis sebagai destinasi utama pelancongan secara sepenuh masa di masa hadapan.

Cuti sempena sambutan Hari Deepavali kali ini sekali lagi membuktikan bahawa ribuan rakyat Malaysia bertandang ke negara Gajah Putih tersebut dan kedua-dua pintu masuk iaitu Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis menjadi sibuk dan secara tidak langsung limpahan ekonomi boleh dinikmati oleh masyarakat setempat Perlis sekiranya para pelancong ini singgah untuk makan minum, berbelanja, mengisi minyak, menyumbang kepada masjid ketika solat, malahan bermalam di Perlis dan sebagainya.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melancarkan kempen Promosi Masakan Perlis “Kurma Daging Perlis” yang disajikan sempena sarapan pagi di Yun’an Conference Resort, Xishan, Kunming, China.

Keberangkatan tiba Baginda ke program yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) itu disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, Muhamad Akmal Abdul Wahab.

Turut hadir sama ialah pegawai-pegawai perwakilan di Pejabat Konsulat Malaysia terdiri daripada Konsul Muda, Rohaya Ayob yang telah menyediakan juadah istimewa tersebut, Atase Imigresen, Aishah Hanani Ahmad, Penolong Atase Imigresen, Zainudin Ibram dan Pegawai di Konsulat, Sulfaziatul Irma Sulaini.

Tahun ini sahaja Tuanku Syed Faizuddin Putra telah melancarkan Promosi Masakan Perlis sedemikian rupa di beberapa buah negara luar seperti Ethiopia, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Latvia, Estonia, Turkiye dan Kemboja dalam kunjungan-kunjungan khas Baginda di samping memperkenalkan negeri Perlis ke persada antarabangsa.

Menurut Raja Muda, tahun 2023 ini merupakan tahun akhir persediaan negeri ini untuk menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan berangkat melancarkan kempen Promosi Masakan Perlis dengan masakan Kurma Daging Perlis yang disajikan sempena sarapan pagi di Yun’an Conference Resort, Xishan, Kunming, China.

Bagi menyambut pengunjung pada tahun tersebut, seluruh jentera kerajaan mahupun swasta serta penduduk setempat bersama semua pihak perlu membuat persiapan rapi dalam segenap aspek secara menyeluruh seperti memastikan kemudahan infrastruktur yang baik, kebersihan terjaga dan pemain industri pelancongan membuat penambahbaikan kemudahan serta produk masing-masing.

Kegagalan dalam perkara ini dikhuatiri akan menjejaskan imej negeri serta memberi perspektif yang kurang baik dalam kalangan pengunjung. – SM

(Visited 700 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button