Negeri

PBT jangan beri gambaran buruk hingga haiwan terbiar dizalimi – Sultan Selangor

PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor diminta agar lebih pro-aktif dan bijak menangani isu haiwan terbiar secara holistik dan bukan memberi gambaran buruk yang akhirnya akan menyebabkan haiwan-haiwan tersebut dikurung atau dibunuh.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menintahkan PBT perlu mencontohi negara Turki dalam mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa daripada dizalimi di negara itu.

Istana Alam Shah dalam satu kenyataan berkata, Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin terkilan dan dukacita kerana masih ada individu dan pihak tertentu yang berlaku kejam terhadap haiwan terbiar.

“Baginda mahu PBT menjadikan negara Turki sebagai model, bagaimana pihak berkuasa negara itu mengendalikan haiwan-haiwan terbiar yang tidak berdosa ini daripada dizalimi.

“Baginda berdua amat berharap agar rakyat dan seluruh komuniti di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, terus menyemai sifat belas kasihan dan sayangkan haiwan-haiwan terbiar ini serta mengambil berat tentang hak dan kebajikan haiwan seumpamanya,” kata kenyataan tersebut.

Serentak itu Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menitahkan rakyat jelata khususnya di Negeri Selangor agar tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan-haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing.

Baginda berdua turut memelihara beberapa ekor kucing terbiar yang telah dikasi dan diberi perlindungan secukupnya.

“Ini termasuk Snowy, seekor kucing terbiar yang pada mulanya datang ke kediaman Tuanku Sultan empat tahun lalu untuk mencari makanan, namun diambil sebagai haiwan angkat di atas inisiatif Baginda sendiri.

“Snowy kini adalah kucing peliharaan kesayangan DYMM Tuanku Sultan dan menjadi peneman setia Baginda.

“Seperti kucing terbiar lain yang diambil untuk dipelihara, Snowy telah dihantar ke doktor veterinar untuk dikasi dan dibersihkan,” kata kenyataan tersebut.

Tengku Permaisuri Norashikin merupakan Penaung Diraja kepada program Stray Free Selangor (SFS) kendalian Society For The Prevention of Cruelty Animals (SPCA Selangor).

Badan bukan kerajaan itu telah menyelamatkan lebih 100 ekor kucing terbiar dan kira-kira 30 ekor daripadanya dipelihara oleh Baginda sendiri manakala selebihnya diberi kepada mereka yang mahu menjadikan haiwan angkat.

Titah baginda, dengan kaedah mengambil sebagai haiwan angkat, haiwan terbiar tersebut boleh menjadi haiwan peliharaan yang bersih dan menyenangkan jika diberi rawatan dan penjagaan yang rapi.

Sejak Mac 2017 sehingga Disember 2020, sejumlah 7,117 ekor kucing dan anjing terbiar telah dikasi di bawah program SFS yang diselia oleh SPCA Selangor.

Titan Sultan Selangor itu tersebut hadir selepas kontroversi kain rentang yang dinaikkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam mengingatkan individu yang memberi makan kepada haiwan terbiar boleh dikenakan denda.

Kain rentang itu menjelaskan pemberian makanan kepada haiwan liar boleh mengotorkan kawasan, mengubah sifat semula jadi hawian untuk mencari makanan.

Selain itu pemberian makanan kepada haiwan terbiar juga menyebabkan binatang tersbeut akan mendominasi kawasan berkenaan dan menyebabkan peningkatan populasi haiwan liar yang akhirnya menyebabkan kacau ganggu.

“Merujuk Akta Kebajikan Haiwan, Seksyen 33, setiap individu yang memberi makanan kepada mana-mana haiwan perlu bertanggungjawab ke atas haiwan yang diberi makan dan boleh dianggap sebagai pemilik haiwan terbabit.

“Manakala aktiviti memberi makan kepada haiwan terbiar, akan menyebabkan kawasan terbabit menjadi kotor dan menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 81,” kata MBSA dalam satu kenyataan baru-baru ini.-SM

(Visited 556 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button