Nasional

Kem PLKN Sri Ledang akan dijadikan PKRC kedua di Johor

KEM Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sri Ledang dekat Tangkak, Johor akan dijadikan Pusat Kuarantin Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) kedua di negeri itu selepas PKRC di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang mula beroperasi hari ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ini sebagai persediaan kerajaan negeri dalam berhadapan jumlah pesakit positif yang semakin meningkat kebelakangan ini.

“Jumlah katil dan kemudahan yang bakal disediakan di Kem PLKN Sri Ledang itu belum dapat dipastikan kerana masih lagi dalam perbincangan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya pada sidang media secara maya berhubung situasi Covid-19 di negeri itu hari ini.

Hasni berkata, PKRC di Stadium MBPG pula mempunyai kapasiti 1,200 katil dan dibangunkan dengan  konsep PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor.

Beliau berkata, pengoperasian PKRC tersebut memudahkan kerajaan negeri dan agensi terlibat seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor menguruskan individu disahkankan positif Covid-19 dengan lebih tersusun.

“Jadi, di Pasir Gudang ini (PKRC Stadium Tertutup MBPG) bukan sahaja PKRC tetapi juga mempunyai kemudahan untuk CAC (Pusat Penilaian Covid-19).

“Ini supaya saringan dapat dibuat dengan lebih meluas sebelum pesakit positif Covid-19 dihantar sama ada terus berada di rumah sebagai (pesakit) tahap satu dan dua manakala tahap tiga, empat dan lima boleh dihantar ke pusat perubatan, hospital kerajaan atau swasta selepas saringan dibuat,” katanya.

Hasni berkata lagi, pengoperasian PKRC Stadium Tertutup MBPG dan Kem PLKN Sri Ledang membolehkan Johor menampung jumlah pesakit positif Covid-19 di negeri itu.

“Kalau mengikut jangkaan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Jabatan Kesihatan Negeri Johor sendiri, Johor masih boleh mengurus dan kita tidak ada masalah pada waktu ini untuk menerima mereka yang memerlukan rawatan setelah didapati positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Hasni mengesahkan beliau dan petugas di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri sudah melakukan ujian saringan baru-baru ini selepas Setiausaha Politiknya Datuk Zulkurnain Kamisan disahkan positif Covid-19. – SUMBER BERNAMA – SM

(Visited 558 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button