Nasional

Jangan salah guna Bantuan Kasih Bangsa Johor – ADUN Bukit Naning

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Mohd. Fuad Tukirin mengingatkan penduduk agar dapat memanfaatkan Bantuan Kasih Bangsa Johor 2022 sebaik mungkin bagi menjamin hidup mereka lebih baik.

Menurutnya, penduduk sewajarnya berterima kasih kepada kerajaan negeri yang begitu prihatin terhadap kesusahan rakyat sehingga meluluskan peruntukan RM144.36 juta untuk dinikmati kepada 3.69 juta rakyat Johor.

Menurutnya, bantuan tersebut membuktikan usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

“Inisiatif Bantuan Kasih Bangsa Johor 2022 adalah usaha murni serta terpuji dan dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan rakyat Johor khususnya penduduk di DUN Bukit Naning.

“Saya harap bantuan yang telah mula diagih-agihkan kepada seluruh penduduk dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Bantuan ini bukan semata-mata kepada keluarga yang terjejas terutama B40 tetapi juga kepada pengusaha hotel bajet, peniaga, pemandu bas, pemandu pelancong, penghantar makanan, pemandu teksi dan sebagainya.

“Ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) sangat prihatin atas kesusahan semua pihak selepas negara dilanda Covid-19 kini berdepan pula dengan kesan inflasi ekoran kenaikan harga barangan keperluan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan Bantuan Kasih Bangsa Johor kepada Pegawai Masjid dan Surau serta penerima elaun Daerah Muar 2022 mewakili Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khaliddi Masjid SultanIbrahim, Muar, Johor baru-baru ini.

Seramai 180 orang menerima Bantuan Kasih Bangsa Johor pada program berkenaan yang turut dihadiri Kadi Daerah Muar, Al Sheikh Mohd. Khalil Md. Noor.

Pada April lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan insentif khas Bantuan Kasih Bangsa Johor merangkumi 28 inisiatif melibatkan peruntukan RM144.36 juta, sebagai tanda penghargaan dan kasih kerajaan negeri kepada semua rakyat Johor.

Mengumumkan perkara itu, beliau berkata, inisitiaf-inisiatif itu bakal memanfaatkan 3.69 juta rakyat negeri itu.

Jelasnya, kerajaan negeri menyedari, rakyat kini sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam norma baharu, terutama dengan aktiviti ekonomi sudah mulai rancak selepas sempadan Johor-Singapura telah dibuka semula.

Onn Hafiz berkata insentif khas itu dibuat dengan niat kerajaan negeri mahu berkongsi rezeki dengan Bangsa Johor tidak mengira bangsa, agama, keturunan, darjat mahupun latar belakang.

Penyerahan Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ), yang merangkumi lima kategori iaitu kemasyarakatan, kebajikan, orang muda Johor, pendidikan dan ekonomi, akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat. – SM

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button