Nasional

UPSI zahirkan impian Aminuddin miliki kerusi roda elektrik

“Saya mahu berdikari dan tak mahu susahkan orang lain, syukur dan terima kasih kepada UPSI bila bermurah hati sumbang kerusi roda elektrik untuk membantu pengajian saya di sini,” kata pelajar berkeperluan khas Diploma Rekabentuk Pembangunan Permainan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham, 20, selepas menerima bantuan kerusi roda elektrik di sini hari ini.

Pelajar semester empat yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu mengalami keilatan kekal fizikal pada bahagian kaki sejak lahir dan perlu dibantu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Md Amin (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus selepas menyerahkan kerusi roda elektrik kepada pelajar berkeperluan khas, Aminuddin Al-Hafiz sambil disaksikan Norkhalid (kiri sekali) , Alan Tan Khee Sheng (tiga dari kiri) dan ahli jawatankuasa pengurusan universiti di UPSI.

“Saya memang sudah lama idamkan sebuah kerusi roda yang berupaya bergerak menggunakan kuasa elektrik kerana sepanjang zaman persekolahan sekolah rendah dahulu banyak dibantu rakan-rakan sekelas yang menolak kerusi roda,” katanya.

“Namun bila meningkat ke alam remaja ke sekolah menengah, saya mula rasa rendah diri kerana ketika itu tak ramai yang mahu berkawan dengan saya yang berstatus OKU, apatah lagi membantu menolak saya ke mana-mana, sejak itu saya tekad untuk berdikari dan bercita-cita mahu memiliki sebuah kerusi roda elektrik,” tambahnya.

Anak tunggal yang dibesarkan oleh nenek yang hanya makan hasil pencen arwah datuk menjadikan Aminuddin hanya mampu memendam rasa memiliki kerusi roda elektrik tersebut.

Aminuddin Al-Hafiz menguji kerusi roda elektrik yang diterima sambil diperhatikan Md Amin (kiri sekali), dan Norkhalid (dua dari kiri) di Bangunan Canselori, UPSI, hari ini.

Aminuddin berkat sebaik mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke UPSI, saya amat gembira apabila pihak universiti banyak membantu menyediakan prasarana yang lengkap,

“Selain kemudahan kolej kediaman, saya turut dibantu kemudahan pengangkutan khas oleh para pegawai Bahagian Hal Ehwal Pelajar setiap kali pergi dan balik ke kelas selain mempunyai rakan mahasiswa, Alan Tan Khee Sheng dan Nabil Danial Es’aedi yang banyak membantu menolak saya menggunakan kerusi roda,” tambahnya lagi selepas menerima sumbangan kerusi roda elektrik yang disampaikan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.

Menurut Md Amin, sumbangan tersebut merupakan inisiatif UPSI untuk membantu mahasiswa lebih-lebih lagi golongan berkeperluan khas, asnaf dan B40 mendapatkan pendidikan yang sempurna sepanjang pengajian mereka di kampus.

“Ini juga merupakan salah satu teras amalan budaya yang diterapkan UPSI memastikan kebajikan warganya terpelihara dan saya percaya sumbangan ini sekali gus memberi harapan baru kepada Aminuddin untuk belajar bersungguh-sungguh mencapai cita-citanya seterusnya kembali berbakti kepada masyarakat setelah berjaya,

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para dermawan dana Tabung UPSI Prihatin selain penyumbang dana kepada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI bagi membantu golongan sasaran di pusat pengajian ini,” jelasnya.

Aminuddin Al-Hafiz berada dalam kenderaan mobiliti yang disediakan UPSI sebagai pengangkutannya pergi ke kuliah setiap hari.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr. Norkhalid Salimin berkata, beliau akan meneruskan agenda membantu kebajikan para mahasiswa melalui Seksyen Kebajikan Pelajar di jabatannya dan mengalu-alukan orang ramai dan korporat yang prihatin untuk tampil menghulurkan sumbangan.

Beliau berkata inisiatif itu dilihat amat bertepatan dengan kesesuaian teknologi semasa, namun terdapat kekangan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan sumbangan kerusi roda manual yang jauh lebih murah.

“Sehubungan itu jika ada pihak yang mahu menginfakkan harta secara wakaf ataupun memberi sumbangan bolehlah berbuat demikian dengan menghubungi 05-450 6000 atau layari laman sesawang https://epayment.upsi.edu.my/ ,” jelasnya.

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button