Ekonomi

Bank Rakyat sokong inisiatif kerajaan bantu golongan B50

Bank Rakyat menyokong penuh inisiatif Kerajaan bagi menyediakan program sokongan komprehensif khusus untuk pelanggan B50 yang terjejas menerusi pelaksanaan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataannya baru-baru ini.

Program ini ditawarkan kepada pelanggan B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM5,880 dan telah pun menyertai program bantuan bayaran ansuran pembiayaan seperti Bantuan Bayaran Bersasar, PEMERKASA Plus, PEMULIH, penjadualan dan penstrukturan semula oleh bank setakat 30 September 2021.

Selain itu, pelanggan B50 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus serta mempunyai pembiayaan yang tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan juga layak untuk menyertai program ini.

Menerusi program ini, pelanggan yang layak boleh mendapatkan pelan kewangan peribadi yang dibangunkan secara holistik oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan mengambil kira keadaan kewangan pelanggan dan kemampuan untuk membayar semua obligasi pembiayaan mereka.

Pelan kewangan berkenaan juga akan merangkumi opsyen pengecualian kadar keuntungan pembiayaan untuk tempoh tiga bulan atau pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan berserta pengecualian kadar keuntungan pembiayaan selama tiga bulan.

Sepanjang tempoh itu, pelanggan dengan pembiayaan peribadi tanpa penjamin dan kad kredit juga boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar keuntungan untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, inisiatif sektor perbankan menerusi kerjasama Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan AKPK ini akan ditawarkan kepada pelanggan Bank Rakyat apabila permohonan dibuka bermula 15 November 2021.

“Seiring dengan semangat Keluarga Malaysia, kemudahan ini diharapkan dapat memberi ruang kepada pelanggan individu daripada segmen B50 yang paling terkesan akibat COVID-19,” ujar beliau.

“Bank Rakyat sentiasa bersedia untuk terus membantu pelanggannya dan mereka yang memerlukan bantuan masih boleh menghubungi Bank untuk membincangkan mengenai program bantuan yang bersesuaian dengan kedudukan kewangan mereka bagi memenuhi keperluan kewangan mereka ketika ini,” tambah Dato’ Syed Abdul Aziz. – SM

(Visited 345 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button