Kebakaran

Kanak-kanak selamatkan lapan individu dari rentung

Tindakan seorang kanak-kanak ternampak api marak di bahagian dapur menyelamatkan lapan individu selepas dua buah rumah papan hangus terbakar di Jalan Alor Gajah, Melaka di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, kesemua lapan mangsa berumur antara sembilan  hingga 58 tahun daripada dua keluarga berjaya menyelamatkan diri ketika api mula marak.

Seorang mangsa, Muhammad Ridzuan Jasmi,17, berkata, dia telah dikejutkan oleh anak saudaranya yang ternampak api marak di bahagian dapur.

Katanya, sewaktu kejadian, dia sedang tidur di ruang tamu rumah sebelum sebelum dikejutkan anak saudaranya.

“Apabila bangun saya cuba memadamkan api menggunakan paip air tetapi usaha itu gagal sebab api marak terlalu cepat.

“Seorang jiran meminta saya matikan suis utama elektrik dan segera keluar menyelamatkan diri sementara menunggu ketibaan pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Ridzuan berkata, dia sedang menjaga lima anak saudaranya sementara emak, ayah dan abang iparnya keluar bekerja.

“Mujurlah anak saudara saya nampak api di bahagian dapur kalau tidak saya pun tak tahu nasib kami macam mana. Saya tak dapat selamatkan banyak barang termasuk motosikal hangus terbakar,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Asnita Asmadi, 20, berkata, dia dan ibunya berusia 58 tahun mengucap syukur kerana sempat menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut.

Katanya, ketika kejadian dia sedang buat persiapan makan tengahari sebelum terdengar jeritan jiran memberitahu rumahnya sedang terbakar.

“Dalam keadaan panik itu, saya segera menghubungi bomba dan meminta semua mereka duduk di luar rumah,” ujarnya.

Katanya, angin kuat dan cuaca panas menyebabkan kedua-dua rumah hangus terbakar dalam masa yang singkat.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Khusairy Deraman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran tersebut kira-kira pukul 11.23 pagi.

Beliau berkata, seramai 18 anggota dan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Cheng dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, memang benar didapati api marak di dua rumah yang didiami 12 individu dan api berjaya dikawal pada pukul 12 tengah hari,” ujarnya.

Jelasnya, kesemua lapan mangsa berusia antara sembilan hingga 58 tahun bagaimanapun terselamat dalam kejadian tersebut.

Katanya, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – SM

 

(Visited 33 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button