Politik

Kalau Juwairiya kalahkan Azmin Ali di DUN Hulu Kelang, boleh akses terus PMO

TINGGAL seminggu, minggu ini Sahaja lagi untuk calon-calon dan pemimpin-pemimpin parti memanaskan pentas ceramah perdana Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos, Sabtu ini.

Minggu akhir pastinya pemimpin-pemimpin parti giat turun padang dan menjanjikan bulan, Bintang dan matahari kepada bukan sahaja para pengundi tetapi juga calon-calon yang bertanding.

Tidak ada siapa pun yang masuk gelanggang pertandingan untuk kalah, semua mahu menang dan gula-gula diberi awal-awal lagi sebagai pencetus semangat untuk terus kuat berkempen.

Kalau di minggu pertama kempen PRN Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kalau menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, beliau boleh terus kekal menjadi Menteri Besar Selangor.

Semalam, kalau calon Pakatan Harapan yang bertanding di DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli daripada Pakatan Harapan (PH) menang menewaskan calon Perikatan Nasional, Datuk Seri Azmin Ali, beliau akan diberikan akses terus untuk berurusan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Demikian kata Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Pengerusi PH dalam ceramah di Hulu Kelang, malam tadi.

“Saya tidak mahu janji lebih-lebih ketika musim pilihan raya, jika Juwariya diberikan mandat saya akan berikan beliau terus ke pejabat Perdana Menteri kerana saya kenang jasa,” katanya.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, ini kerana beliau menghargai jasa Juwairiya terutamanya selepas Timbalan Ketua Wanita PKR itu, sepatutnya bertanding di kerusi lain.

Juwairiya yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar, Amirudin menyandang kerusi Bukit Melawati sebelum DUN dibubarkan.

“Ya, dia sepatutnya bertanding di tempat lain tetapi saya memikirkannya dan merasakan kerusi ini mesti dimenangi,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pengundi tidak mengambil mudah PRN.

“Mereka, Perikatan Nasional mempunyai dana yang banyak. Lihat bagaimana mereka membayar ‘influencer’ di media sosial.

“Jadi, kita kena pastikan, terutama yang muda, kita buat keputusan yang betul. Gunakan hak anda sebagai pengundi untuk menyelamatkan Selangor dan Malaysia,” katanya.

Hulu Kelang akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Juwairiya dan bekas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang kini Pengerusi PN Selangor.

Pencalonan Azmin di Hulu Kelang susulan spekulasi berbulan-bulan bekas Menteri Besar Selangor itu tidak akan mempertahankan kerusinya di Bukit Antarabangsa yang dimenanginya sejak 2008.

Azmin pernah menjadi ADUN Hulu Kelang utnuk satu penggal dari 1999 hingga 2004.

Hulu Kelang terletak di bawah Parlimen Gombak di mana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, Azmin tewas kepada Amirudin yang juga Ketua PKR Selangor dengan majoriti 12,729 undi. – SM

BACA Siapa “poster boy” Bersatu PRN Selangor?

BACA Ezam antara empat calon PRM di PRN Selangor

 

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button