fbpx
Politik

Satu kekhilafan keluar UMNO, Salleh mahu sumbang tenaga

Bekas Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini mengesahkan beliau telah memohon untuk menyertai semula UMNO.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, tindakan beliau keluar daripada UMNO adalah satu kesilapan.

“Saya membuat keputusan tersebut setelah merenung kembali keputusan yang saya ambil termasuklah keluar daripada UMNO secara ‘en-block’ pada 12 Disember 2018 yang mana kini saya anggap sebagai satu kekhilafan.

“Kini saya menyerahkan kepada UMNO khususnya YB Presiden, Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Sabah yang diketuai oleh YB Dato’ Sri Bung Moktar Radin untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Saya berhasrat untuk menyumbang sepenuh usaha dan tenaga saya bersama UMNO dalam meneruskan agenda perjuangan membina negara Malaysia yang tercinta,” kata Salleh.


Semalam, Ketua UMNO Sabah  Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan pihaknya sudah menerima surat permohonan Salleh untuk menyertai semula UMNO, dan permohonan itu sedang dipertimbangkan dan diperhalusi untuk kelulusan.

Menurut Saleh beliau telah memohon untuk kembali bersama UMNO pada 26 Mei lalu melalui Ketua UMNO Sabah.

Salleh sebelum itu memaklumkan beliau membatalkan permohonannya untuk menyertai PKR pada April lalu selepas memikirkan secara mendalam dan mengambil kira landskap politik hari ini termasuk pergolakan dalaman PKR.

Salleh memohon menyertai PKR pada Oktober tahun lepas iaitu hampir setahun selepas beliau bersama sebilangan besar kepimpinan UMNO Sabah keluar meninggalkan parti.

Beliau memohon menyertai PKR pada tahun lepas kerana ketika itu PKR adalah sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, dan menurutnya, Sabah harus membina hubungan kukuh dengan kerajaan Persekutuan untuk kekal membangun serta berdaya saing.

“Saya memilihnya (pada waktu itu) demi kesinambungan kerjasama antara Sabah dan kerajaan Persekutuan,” katanya.-SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button