Politik

Kabali bakal kembali?

APABILA terlihat foto Tan Sri Annuar Musa berjogging dengan Khairy Jamaluddin saya berasa terhibur.

Tan Sri berpakaian serba merah gaya umpa watak hero Flash, manakala Khairy berjambang yang semakin putih kelihatan seperti megastar filem Tamil Rajinikanth yang beraksi sebagai hero di dalam filem Kabali.

Filem Kabali sebahagian besarnya shooting di Malaysia dan mengisahkan seorang pemimpin setempat yang sangat dihormati ramai kerana sering membantu penduduk yang bermasalah.

Jalan ceritanya biasa sahaja, tetapi tarikannya ialah Rajinikanth. Ramai yang ternanti-nanti apakah Kabali akan kembali lagi selepas ditayangkan pada 2016.

Terfikir juga karier politik Khairy yang agak menyepi selepas tewas dalam perebutan jawatan presiden UMNO pada 2018 kepada penyadang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Ahmad Zahid Hamidi mendapat kepercayaan dan keyakinan ahli UMNO apabila dipilih sebagai Presiden baharu UMNO bagi tempoh 2018-2021.

Keputusan itu sekali gus menjulang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sebelum ini menjalankan tugas pemangku Presiden UMNO sebagai Presiden UMNO kelapan.

Ahmad Zahid menewaskan empat pesaing lain antaranya dua nama besar UMNO iaitu Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang serta dua calon tidak ternama.

Walaupun memegang jawatan menteri kabinet Perikatan Nasional (PN), Khairy atau lebih dikenali dengan panggilan KJ lebih menyepi. Bagaimanapun sepi bukan bermakna tidak berisi.

Apakah KJ juga akan membuat penampilan kali kedua menentang Zahid pada pemilihan yang akan diadakan pada tahun hadapan?

Bagi Zahid selaku penyandang dalam satu pertemuan memberi gambaran bahawa beliau tidak menghalang mana-mana pihak yang berminat untuk masuk gelanggang menawarkan diri bertanding.

Pertandingan kali ini pasti meriah jika Datuk Seri Mohamad Hasan turut masuk gelanggang. Kelebihan masih berpihak kepada Zahid kerana orang UMNO masih menyayangi beliau kerana jasanya menjaga parti itu ketika jatuh tertiarap dek kekalahan pilihan raya umum lalu dan kini berjaya bangkit kembali.

Ibarat burung helang yang telah gugur seluruh bulunya dan hampir menemui ajal, tetapi kini kembali segar bugar dan sayap sudah kembali mampu mengepak.

Sebahagian besarnya juga tidak dapat dinafikan kerana kerjasama di dalam Muafakat Nasional yang digarap oleh Zahid dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hinggalah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Azmin Ali bergabung dengan Muafakat Nasional melalui Langkah Sheraton membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun terlebih dahulu dijangka kerajaan Perikatan Nasional akan mengadakan pilihan raya awal dalam tahun ini bagi mendapat mandat segar dari rakyat untuk mentadbir negara ini untuk tempoh satu penggal menggantikan kerajaan yang dibentuk daripada kehancuran Pakatan Harapan yang tidak stabil serta sering diganggu gugat dari dalam serta luar. – SM

 

 

 

(Visited 60 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button