Nasionalpilihan

Nahas helikopter Lumut: Pengamal media, orang ramai diminta tidak sebar video insiden

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengingatkan pengamal media dan orang ramai agar tidak menyebarkan video membabitkan insiden dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak pagi ini.
Beliau berkata dalam situasi sekarang, orang ramai seharusnya menghormati waris dan keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas itu kerana video tersebut akan memberi kesan kepada mereka.
“Berlegar video yang menunjukkan momen-momen berlaku nahas tersebut, jangan disebarkan dan mari kita memberi rasa hormat kepada ahli keluarga, waris mangsa dan jangan kita sebarkan…untuk rakan media juga saya minta tidak menggunakan klip atau footage itu.
“Saya akan minta MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) untuk meneliti dan sekiranya perlu untuk ambil apa-apa tindakan kerana ia seperti mana-mana nahas kemalangan lain kita perlu beri ruang kepada ahli keluarga dan tidak menyebarkan video tersebut,” katanya kepada pemberita di Wisma Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jom Baca Bersama 10 Minit@Bernama: Pembacaan Melestarikan Perpaduan yang diadakan dengan kerjasama Kedutaan Sweden di Malaysia sempena Hari Buku dan Hari Hak Cipta Sedunia yang disambut setiap 23 April.
Fahmi juga mengambil kesempatan menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara terperinci.
TLDM mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam insiden pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.
Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.
(Visited 13 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button