Nasional

Jangan buat kakitangan barisan hadapan rasa terhina tak benarkan beli barangan

MENTERI Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menyelar tindakan segelintir pekedai yang menghalang kakitangan barisan hadapan atau frontliners daripada membeli barangan keperluan termasuk makanan.

Beliau berkata, beberapa pekedai di sekitar Taiping dikesan meletakkan poster yang melarang petugas terbabit masuk ke dalam premis khususnya kakitangan Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) seperti mana dilaporkan oleh FMT.

FMT juga dikatakan sedang berusaha untuk mendapatkan foto poster yang melarang masuk petugas KEMTA di premis perniagaan sebagaimana yang dirujuk oleh Saarani.

Saarani menyifatkan tindakan pekedai berkenaan sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan memberikan persepsi serong terhadap petugas barisan hadapan.

“Ada beberapa kedai yang meletakkan poster dan pelekat tidak membenarkan kakitangan KEMTA membeli barangan.

“Tindakan itu adalah satu penghinaan kepada mereka yang tidak bersalah kerana yang datang membeli bukanlah mereka yang positif Covid-19.

“Yang positif adalah mereka yang di dalam penjara. Yang datang keluar membeli barang keperluan adalah mereka yang bebas daripada Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, petugas KEMTA dilarang masuk oleh pekedai tertentu walaupun mereka sudah pun menjalani kuarantin selama 14 atau 10 hari dan gelang merah jambu sudah pun dipotong.”

Saarani berkata, tidak ada sebab untuk sesiapa meragui risiko jangkitan daripada frontliners tanpa asas yang sah sehingga tidak membenarkan mereka membeli barangan keperluan.

“Jangan beri persepsi yang salah kepada petugas frontliners termasuk yang bertugas sebagai warden penjara dan petugas pusat kuarantin. Kita seolah-oleh menjatuhkan moral mereka yang selama ini bertugas untuk kebaikan kita,” katanya.

Bulan lalu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di KEMTA susulan peningkatan kes positif Covid-19.

Tindakan itu diambil selepas Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 1,490 saringan terhadap tahanan dan mendapati 50 daripadanya positif Covid-19.

PKPD di KEMTA serta kuarters kakitangan ditamatkan pada 12 Januari lalu manakala bagi blok penempatan OKT di PTP yang melibatkan Blok Gemilang, Blok Harapan, Blok Jaya dan Blok Abadi ditamatkan pada 26 Januari lalu.

Dalam pada itu, Saarani turut mengingatkankan semua Exco dan wakil rakyat Perak agar menunjukkan contoh dan teladan yang baik dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

Katanya, ini merangkumi menjaga penjarakan fizikal dan tidak mengambil gambar secara rapat serta membuka pelitup muka. – SM

(Visited 268 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button