Nasional

Jadikan pertanian di rumah norma budaya kehidupan baharu

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat Perlis supaya menggunakan dengan sebaiknya masa yang ada semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang baru sahaja bermula untuk aktiviti pertanian di halaman rumah masing-masing.

Rakyat Perlis ramai yang mempunyai kelebihan ruang tanah yang luas di kawasan rumah. Jika diusahakan tanaman tertentu ia sudah pasti dapat memberikan hasil.

Titah baginda lagi, kelebihan tanah Perlis yang subur hendaklah dimanfaatkan oleh setiap keluarga mengikut kadar ruangan tanah yang dimiliki masing-masing. Banyak tanaman yang boleh mendatangkan hasil yang cepat dalam 2-3 bulan seperti cili, jagung, tembikai, labu dan seumpamanya.

Begitulah juga dengan sayur-sayuran yang mengambil masa lebih singkat lagi.

Kesemua itu jika diusahakan dengan tekun, baik dan bijak boleh memberikan hasil pendapatan kepada seseorang.

Kemajuan ilmu pertanian hari ini juga boleh dimanfaatkan di mana ruang yang kecil boleh memberikan hasil yang subur dan banyak.

Demikian titah baginda selepas berkenan menerima mengadap Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Galeri DiRaja Arau.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, “Pertanian di sekitar rumah di musim PKPB ini, di samping mendatangkan hasil, ia juga akan menyihatkan tubuh badan dan memberikan lanskap yang cantik di kawasan rumah masing-masing”.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memaklumkan bahawa pihak MAIPs mempunyai peruntukan bantuan benih kepada golongan asnaf yang ingin mengusahakan pertanian di bawah ‘Program Peningkatan Ekonomi Asnaf’.

Ini satu galakan untuk mereka. Jika mereka usahakan dan MAIPs dapati ia berjaya, kemungkinan bantuan-bantuan lain yang seiringan boleh ditambah.

Baginda juga mengingatkan rakyat bahawa terdapat pelbagai kemungkinan yang akan melanda negara ini berikutan perubahan mendadak situasi ekonomi secara global akibat pandemik Covid-19 yang telah meragut ratusan ribu nyawa sejak awal tahun ini.

Menurut baginda lagi, rakyat Perlis boleh menjadikan pertanian di rumah sebagai satu norma budaya kehidupan baharu. Dengan itu, banyak bahan keperluan dapur yang dihasilkan sendiri, dan jika ada lebihan ia akan menjadi pendapatan tambahan.

Kalau boleh biarlah ia menjadi budaya hidup di Perlis, di mana setiap rumah akan mempunyai pertanian sendiri yang berkualiti. Lama kelamaan pasti ilmu pertanian setiap keluarga akan meningkat dan hasilnya juga akan bertambah. Jabatan Pertanian juga boleh membantu membimbing ke arah kejayaan hasrat ini.

Pada kesempatan yang sama, Mohd Asri menambah bahawa, “Golongan yang berikhtiar lalu dibantu adalah lebih baik dari golongan yang hanya menunggu bantuan tanpa cuba melakukan sesuatu”.

“Jangan kita bazirkan ruang tanah yang ada di sekeliling rumah kita. Terdapat ramai rakyat Perlis yang sudahpun memperolehi ribuan ringgit sebulan kerana mengusaha tanah di sekitar rumahnya.

“Hari ini setiap orang boleh dengan mudah mempelajari cara pertanian yang berkualiti melalui youtube dan sebagainya,” tambah beliau. – SM

(Visited 333 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button