Nasional

Isu warganegara anak kepada wanita rakyat Malaysia dibawa ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan isu kewarganegaraan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara dalam sidang Dewan Rakyat, September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu terlebih dahulu akan dikemukakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berlangsung dalam minggu ini.

“Saya percaya Majlis Raja-Raja akan berikan sokongan terhadap (usaha ini). Kita akan kemuka pindaan (Perlembagaan) pada sidang Parlimen akan September,” katanya ketika menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia 2023 di sini hari ini, lapor Utusan Malaysia

Menurut Anwar, Kementerian Dalam Negeri menerima banyak permohonan kerakyatan di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan yang menekankan keperluan mendesak untuk diambil tindakan.

Katanya, beberapa isu kritikal menyumbang kepada cabaran dihadapi oleh orang tanpa kerakyatan di Malaysia bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia.

“Usaha sedang dijalankan untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan untuk mereka.

“Kami akan membentangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk menggantikan perkataan ‘bapa siapa’ dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya seorang daripada ibu bapa’,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said  dilaporkan berkata, pindaan pada Bahagian II Jadual Ke-2 Perlembagaan Persekutuan itu.

Langkah itu bagi membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan oleh wanita warga Malaysia di luar negara mendapat hak kerakyatan negara ini, sama seperti anak kepada bapa warga Malaysia yang lahir di luar negara.

Pada 18 Disember lalu, kumpulan hak asasi Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita warga Malaysia memfailkan saman pemula bagi menuntut perisytiharan kerakyatan berkenaan.

Saman pemula itu difailkan bagi menuntut perisytiharan bahawa anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing, layak memperoleh kewarganegaraan secara automatik walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Pada 9 September 2021, mereka berjaya dalam tuntutan itu selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Bagaimanapun, keputusan itu berubah pada 5 Ogos tahun lalu apabila Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button