Nasionalpilihan

Majlis Santunan Kasih KKDW rai 210 penerima sumbangan Ramadan

HAMPIR 1,500 orang yang terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar pusat tahfiz, asnaf dan masyarakat setempat telah diraikan dalam satu majlis iftar yang diadakan di Masjid Darul Huda Kampung Sebandi Matang, Kota Samarahan hari ini.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Binti Haji Wang menjadi lokasi terakhir daripada 14 negeri Majlis Santunan Kasih Ramadan 2023 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang telah bermula pada 24 Mac 2023 bersamaan 2 Ramadan 1444H dengan lokasi pertama di Masjid Batu 8, Gombak Selangor.

Selain merapatkan jalinan ukhwah di antara pihak Kementerian dengan masyarakat, Rubiah turut menyampaikan sumbangan daripada MARA dan Rural Capital Berhad berupa 50 naskah Al-Quran kepada Masjid Darul Huda Kampung Sebandi Matang.

Pada majlis itu juga beliau menyampaikan sumbangan duit raya daripada FELCRA kepada 200 orang pelajar tahfiz dan anak yatim dengan jumlah keseluruhan bernilai RM10,000 beserta sumbangan 1,000 pek kurma kepada warga tempatan yang hadir.

Bagi membantu menjana pendapatan penduduk setempat pada musim perayaan ini,  KKDW turut menyerahkan bantuan kit peralatan dan kursus ‘Quick Win’ KEMAS kepada 10 peserta dalam bidang bakeri dengan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM20,000. Penerima bantuan ini terdiri belia, beliawanis, suri rumah dan ibu tunggal yang tergolong dalam kategori B40 luar bandar.

Bantuan Quick Win KEMAS ini antara inisiatif kerajaan Malaysia Madani dalam memastikan golongan B40 mampu menjana pendapatan sendiri selain dapat menggunakan bantuan yang diterima bagi meneruskan perniagaan yang dilaksanakan dalam skala kecil sekaligus dapat menyediakan peluang pekerjaan buat masyarakat sekitar.

Majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW ini merupakan pendekatan turun padang yang dicetuskan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke desa bagi meninjau kemajuan dan pembangunan di desa selain mendekati masyarakat desa di seluruh negara.

Selain itu, agensi-agensi KKDW turut dilibatkan dalam program ini bagi memastikan keberadaan agensi-agensi KKDW serta berperanan sebagai agensi yang membangunkan sosio-ekonomi masyarakat desa Malaysia Madani. – SM 

Artikel berkaitan > KKDW peruntuk RM1.7 juta digitalkan usahawan desa

(Visited 199 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button