Mahkamah

Imam surau mengaku tidak bersalah berbogel, amang seksual depan kanak-kanak

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 14 Jun – Seorang imam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas
tiga pertuduhan seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan, bulan lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah
di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin.

Imam di sebuah surau dekat Limbongan itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-
kanak perempuan berusia empat tahun di surau berkenaan antara pukul 3.30 hingga 5.00 petang pada 28 Mei
lalu.

Tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak itu turut melakukan perbuatan yang sama
terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun lapan bulan di tempat yang sama antara pukul
5.00 hingga 5.30 petang.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap
Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama yang mana sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga
20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara berbogel
di hadapan mangsa sama berusia 13 tahun lapan bulan di tempat dan waktu sama bagi maksud seksual.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017
yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, di hadapan Majistret Mazana Sinin, bagi prosiding berasingan, tertuduh turut didakwa
menyimpan video lucah dalam telefon bimbit yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam, Muhammad Mustapa merayu jaminan rendah dengan alasan dia sudah
berusia dan menderita penyakit gout.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM23,000 dan menetapkan
tarikh 15 Julai sebagai sebutan semula keempat-empat pertuduhan.

(Visited 595 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button