Berita

Kes bunuh Altantuya: Najib, Azilah perlu bersumpah laknat demi kebenaran

SUMPAH laknat atau mubahalah boleh dilakukan ekoran perbalahan yang tidak dapat diselesaikan dengan cara biasa melalui perbincangan dan persefahaman.

Sumpah tersebut boleh berlaku di mahkamah di depan hakim jika kes dibawa ke mahkamah. Selain itu, ia juga boleh dilakukan di luar mahkamah bahkan di mana-mana sahaja.

Pada zaman Abdullah Ibn Abbas Al-Auzar dan Syuraih Al-Qa‘di, mubahalah pernah berlaku di dalam masjid dan di luar masjid selepas kesepakatan kedua-dua pihak untuk sama-sama merujuk kepada pendekatan mubahalah untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Terbaru, negara dan dunia ini dikejutkan dengan akaun bersumpah bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang menyatakan menerima arahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ekoran itu, Najib sekali lagi menafikan dakwaan berkenaan dan bersedia melakukan sumpah laknat berhubung perkara tersebut.

Sesungguhnya, kes itu telah pun diputuskan oleh mahkamah bahawa Azilah bersalah membunuh Altantuya dan bekas anggota UTK itu kini menunggu hukuman mati.

Najib sebelum ini juga telah beberapa kali bersumpah Wallahi Wabillahi Watallahi bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam pembunuhan wanita Mongolia itu.

Kini Najib sekali lagi akan melakukan sumpah laknat demi kebenaran dan keadilan dirinya.

Saya berpandangan, selain Najib, Azilah juga perlu melakukan sumpah laknat itu demi kebenaran dan keadilan dirinya juga.

Ini kerana, dakwaan terbaharu itu dibuat oleh Azilah sendiri dan bekas anggota UTK itu seharusnya berani untuk bersumpah laknat.

Adakah Azilah bersedia berbuat demikian?

Jika berani kerana benar, Azilah perlu memberanikan dirinya sama seperti Najib untuk membuat sumpah laknat.

Jika tidak ia akan menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan berhubung SD itu seperti adakah ia bukan dibuat oleh Azilah?.

Selain itu, saya berpandangan terdapat pihak-pihak lain yang juga perlu bersumpah dalam kes SD Azilah demi kebenaran.

Antaranya Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia kerana Jabatan Penjara mengeluarkan kenyataan Azilah yang menunggu hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh Altantuya tidak pernah dibawa keluar dari Penjara Kajang sepanjang tahun ini.

Jabatan itu turut menegaskan Azilah juga tidak pernah dibawa keluar dari penjara berkenaan sejak lebih empat tahun lalu, dan kali terakhir banduan itu dibawa keluar dari Penjara Kajang pada 15 April 2015, bagi menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Sepang.

Sumpah mengikut sejarah Islam adalah perkara biasa. Sumpah boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja sesama orang Islam.

Sumpah dibuat bertujuan mendapat kepastian tentang kebenaran sesuatu dakwaan. Jika seseorang itu mendakwa sesuatu yang kita tidak pasti, kita boleh memintanya bersumpah.

Jika tidak diminta sekali pun, jika kita rasa maklumat yang kita beri tidak dapat diterima dengan baik, kita boleh bersumpah. Jadi, berani kerana benar dan takut kerana salah.

Haslihelmy DM Zulhasli
Timbalan Presiden Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK)

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button