fbpx
Berita

1,000 Orang Asli masih terputus hubungan akibat banjir di Mersing

MERSING, 19 Dis — Meskipun banjir makin pulih di Johor, kira-kira 1,000 masyarakat orang Asli masih terputus hubungan sejak Sabtu lepas, berikutan laluan darat untuk ke kampung mereka dinaiki air sehingga kini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Mersing Mohd Azhari Awi berkata kesemua mereka adalah dari lima kampung iaitu Kampung Peta, Kampung Punan, Kampung Tewowoh, Kampung Orang Asli Tanah Abang dan Kampung Orang Asli Tanjung Tuan.

“Kesemua kampung berkenaan yang berada di daerah ini telah terputus hubungan sejak 14 Dis lepas dan sebarang bentuk komunikasi hanya menggunakan radio amatur,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Mersing, di sini hari ini.

Menurut Mohd Azhari, dua hari lepas pihaknya hanya boleh menggunakan bot melalui Sungai Endau untuk ke Kampung Peta bagi mengambil dua pesakit di kampung berkenaan.

“Kami ambil masa sejam setengah melalui sungai itu untuk ke Kampung Peta yang jaraknya antara 15 kilometer hingga 20 kilometer.


“Perjalanan agak mencabar kerana kami menempuh arus sungai deras selain melalui rintangan seperti kayu balak di sungai,” katanya, yang turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi itu.

Mohd Azhari berkata pihaknya berjaya membawa keluar dua pesakit lelaki yang seorang menghidap darah tinggi manakala seorang lagi mengalami demam panas, yang kemudiannya dibawa ke Hospital Kluang untuk rawatan lanjut.

“Hari ini kami akan cuba bawa masuk bekalan makanan kepada penduduk di lima kampung berkenaan.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersetuju untuk membantu membekalkan kami dengan bekalan yang diperlukan untuk dibawa kepada masyarakat di sana,” kata beliau.

— BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button