Jenayahpilihan

Ibu, kekasih disyaki bunuh anak berusia tiga tahun direman tujuh hari

Seorang ibu tunggal dan kekasihnya ditahan polis bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang maut di sebuah rumah di Cheng, Melaka di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Chistropher Patit berkata, dalam kejadian pukul 5.30 pagi, ibu mangsa berusia 24 tahun telah menghantar anak lelakinya ke rumah kekasihnya berusia 25 tahun kerana muntah-muntah.

Menurutnya, teman lelaki wanita tersebut menghubungi kekasihnya memaklumkan anaknya tidak sedarkan diri akibat terjatuh.

“Kedua-dua mereka membawa mangsa ke Hospital Melaka kira-kira pukul 6.50 pagi untuk mendapatkan rawatan namun pegawai perubatan gagal menyelamatkan mangsa walaupun telah memberi bantuan pernafasan.

“Kanak-kanak itu kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 9.15 pagi,” katanya di sini hari ini.

Christopher berkata, mayat kemudian di bawa ke Unit Perubatan Forensik untuk bedah siasat.

Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan di kepala dan badan kanak-kanak itu.

Katanya, susulan daripada itu pasangan kekasih itu ditahan di hospital untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku menendang dan menekan perut kanak-kanak itu berkali-kali secara agresif selepas mangsa muntah di atas sofa.

“Suspek juga mengaku menghantuk kepala mangsa ke lantai dan akibat daripada tindakan itu tengkorak dan organ dalam perut mangsa pecah,” ujarnya.

Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak dan Seksyen 302 KK.

Sementara itu pasangan kekasih itu direman tujuh hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh anak lelakinya itu.

Perintah reman sehingga 13 Julai ini terhadap wanita berusia 24 tahun dan kekasihnya, 25, dikeluarkan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Ia membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana bunuh dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. – SM

(Visited 139 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button