ParlimenPolitik

Hipokrasi dalam perjuangan

Seorang ahli politik otai, apabila ditanya siapa ahli politik di negara ini yang boleh percaya, tanpa berfikir panjang terus dijawab – Tiada siapa yang saya percaya.

Begitulah tenatnya politik tanah air kita. Nak letakkan kepercayaan kepada seorang ahli politik pun sukar. Apatah lagi mahu diserah keyakinan kepada jajaran atau kelompok, tentulah lebih sukar.

Kita lihat sahaja pada persidangan parlimen yang berlangsung masuk hari ketiga. Pembangkang begitu lantang segala-galanya mahu dibangkang. Sedangkan apa yang dibangkang itu adalah berpunca daripada tindakan mereka ketika menjadi kerajaan dahulu.

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) contohnya begitu lantang memperjuangkan nasib doktor kontrak sedang dahulu mereka yang membuat dasar enggan menyerap masuk ke jawatan tetap doktor-doktor berkenaan.

Nasib baik juga kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk menyerap mereka sebagai kakitangan tetap walaupun negara sendiri sedang berdepan pelbagai krisis ekonomi dan kesihatan yang berpunca daripada pandemik Covid-19 yang memerlukan perbelanjaan yang sangat besar untuk memastikan sistem kesihatan tidak runtuh, kehidupan rakyat disantuni dan ekonomi tidak merudum ke lantai hancur berderai.


Bila diimbas lebih jauh, doktor-doktor berkenaan sepatutnya diserapkan ke hospital dan klinik yang diwujudkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan banyak juga bakal dibina.

Bagaimanapun apabila PH memenangi pilihan raya pada 2018 atas manifesto prihatin rakyat telah bertindak menamat pekerja kontrak dan membatalkan projek-projek kesihatan tersebut.

Peruntukan untuk meningkatkan kemudahan kesihatan di pedalaman juga dikurangkan menyebabkan segala perancangan terbantut apatah lagi ketika PN mengambil kerajaan ketika krisis wabak.

PH mengamalkan pendekatan kuku besi apabila memerah dan menjerut rakyat dengan alasan kerana tidak mempunyai wang kerana hutang yang dibuat oleh BN terlalu besar.

Pemimpin kuku besi memang mengamal sikap sedemikian dan rakyat akan menyokong mereka walaupun kebuluran serta terpaksa hidup dalam segala kesusahan.

Sedang kerajaan BN dipimpin Datuk Seri Najib Tun Razak mahu menjadikan Malaysia negara maju dengan berpendapatan tinggi telah ditentang sampai terlentang.

Akhirnya kakitangan kerajaan yang ghairah menumbangkan kerajaan BN merasakan sendiri penangannya.

Bersyukur jugalah apabila negara ini dirampas oleh PN melalui langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH yang mahu mewujudkan rejim kuku besi.

Penularan wabak hari ini hingga ke tahap sukar dikawal juga berpunca daripada kerajaan PH yang enggan menutup pelancong Cina daripada memasuki negara, sedangkan seluruh dunia telah berbuat demikian.

Ketika itu pekerja hotel cemas kerana negara dibanjiri pelancong Cina yang memang disahkan berisiko membawa wabak Covid-19.

Kini kesalahan itu mahu diletakkan di tangan kerajaan hari ini dan dituduh telah gagal menangani wabak ini. Kerajaan PN bukanlah yang paling sempurna di dunia tetapi telah berusaha bersungguh-sungguh menangani wabak ini.

Sepatutnya pembangkang hanya menyalahkan kerajaan, tetapi turut membantu memberi kerjasama dengan menyantuni masyarakat dan mendidik rakyat tentang SOP dan sebagainya.

Mereka juga sepatutnya membantu melancarkan proses vaksinasi dan bukannya terlalu ghairah mengadakan ujian Covid-19 untuk menunjukkan kes terlalu tinggi dan mudah untuk menyalahkan kerajaan Pusat sebagaimana dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.

Negeri Selangor hanya pandai buat bising, apabila diberi bekalan vaksin, kadar vaksinasi mereka sangat perlahan.

Mereka sepatutnya belajar daripada Kuala Lumpur dan Putrajaya bagaimana vaksinasi secara besar-besar dibuat.

Selain itu hotel-hotel yang telah tutup diambil alih oleh kerajaan untuk menempatkan golongan berpendapatan rendah bagi kuarantin apabila dikesan dijangkit wabak. Ini sekaligus mengelakkan penularan yang lebih ganas, pada masa yang sama vaksinasi dipercepatkan.

Paling lucu apabila ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahkan menteri besar sebelum ini menjadi punca penularan wabak besar-besaran di Selangor.

Sedangkan pandemik ini menjadi tidak terkawal sejak kebelakangan ini sahaja.

Pemimpin UMNO juga tidak kurang hipokrasinya di media sosial merekalah yang paling kuat menyerang kerajaan, tetapi di dalam dewan mereka duduk satu saf dengan kerajaan.

Ada seorang pemimpin pula telah meminta untuk berpindah kerusi ke blok pembangkang. Politik apakah ini. Macam kanak-kanak main pondok. Hari ini berkawan, esok kawan ditinggalkan dan mencari kawan yang lain.

Di mana letaknya integriti dan sikap yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat.

Belum lagi sikap pemimpin politik yang tidak ubah daripada haiwan, bahkan haiwan di belantara sendiri lebih harmoni daripada mereka.

Itu belum dikira di dalam parlimen dipenuhi dengan anak beranak mereka sahaja baik Anwar, Lim Kit Siang mahupun Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Nasib baik Muhyiddin tidak berperangai seperti mereka, jika tidak penuh parlimen dengan anak beranak masing-masing sahaja. Jadi tidak perlu diadakan persidangan parlimen cukup hanya mengadakan jamuan keluarga dan di rumah dan merangka dasar negara.

Janganlah hendak menegakkan benang yang basah dengan berhujah mereka berada di tempat itu kerana kebolehan atau merit, kerana rakyat telah melihat bagaimana mereka ketika berkuasa dan kini menjadi pembangkang. Mereka gagal segagal gagalnya.

 

 

(Visited 118 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button