Sukan

Hamidin wajar kekal sebagai Presiden FAM – MUSA

MELAKA 16 Jan. – Kongres Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) hari ini mengambil keputusan menyokong penuh Datuk Hamidin Mohd. Amin untuk terus kekal sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 

Biarpun ada desakan dalam kalangan peminat bola sepak mahu Hamidin meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM ekoran kegagalan skuad Harimau Malaya kecundang di peringkat kumpulan Kejohanan Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

 

Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, tiada sebab Presiden FAM perlu meletakkan jawatan hanya kerana kegagalan skuad Harimau Malaysia di Singapura.


 

Menurutnya, desakan oleh netizen itu dianggap tidak berasas sama sekali kerana hanya melihat kepada satu kegagalan dan mendesak Hamidin meletakkan jawatan.

 

“MUSA berpendirian teguh menyokong Presiden FAM untuk terus mengemudi badan induk bola sepak negara. Beliau harus diberi kepercayaan serta peluang memimpin FAM.

 

“Netizen boleh cakap apa sahaja mereka nak cakap tetapi sampai desak Hamidin letak jawatan itu adalah tidak berasas sama sekali,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kongres MUSA ke-66 di Hotel MITC, Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

Netizen mula mendesak Hamidin mengundur diri sebagai Presiden FAM selepas kegagalan skuad kebangsaan mencapai sasaran ke final Piala AFF 2020 di Singapura.

Ekoran kegagalan itu menyaksikan Tan Cheng Hoe membuat keputusan drastik meletak
jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

Mengulas lanjut Sulaiman berkata, semua orang boleh memberi pandangan tetapi tidaklah sampai mendesak untuk meletakkan jawatan hanya berdasarkan kegagalan skuad kebangsaan tersungkur dalam saingan peringkat kumpulan serta gagal ke separuh akhir.

Jelasnya, kegagalan skuad kebangsaan di Piala AFF tidak boleh dipersalahkan
seratus peratus dibahu Presiden FAM kerana ia melibatkan daripada pelbagai aspek membabitkan pemain, jurulatih dan sebagainya.

 

Sebelum ini, beberapa badan gabungan FAM telah menyatakan pendirian masing-masing mahu Hamidin terus kekal menerajui FAM.

(Visited 48 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button