Nasional

Dana khas Prihatin bantu nelayan terjejas

DANA khas Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) antara RM100,000 hingga RM200,000 untuk setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dapat membantu nelayan yang terjejas ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVID-19.

Memetik laporan BERNAMA, Pengerusi Persatuan Nelayan Sarawak (Penesa) Jam Hajimi berkata, ini kerana terdapat nelayan yang tidak dapat turun ke laut, sekali gus hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga.

“Memang ketika ini nelayan semua sudah dibenarkan ke laut dan bebas untuk menangkap hasil laut namun terdapat juga nelayan yang tidak dapat mencari rezeki kerana mempunyai masalah lain seperti kerosakan alatan dan bot.

“Kami juga bersyukur kerana tindakan PNK yang akan membeli hasil laut nelayan dan ia amat membantu kerana kami tidak perlu lagi pening kepala memikirkan di mana hendak menjual hasil tangkapan selepas pulang dari laut,” kata Jam yang juga Pengerusi PNK Muara Tebas.

Difahamkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah memberi dana sebanyak RM10,000 kepada PNK untuk tujuan pembelian ikan daripada nelayan dan proses pemasaran.

Selain PNK, Penesa Fresh Mart di bawah seliaan LKIM juga turut membeli hasil laut daripada nelayan dan akan menjual secara dalam talian ketika tempoh pelaksanaan PKP.

Menurut Pengurus Penesa Fresh Mart Sufri Ahmad, kedai terbabit mengikut saranan kerajaan untuk melakukan jual beli secara dalam talian.

“Kami di Penesa Fresh Mart akan memuat naik semua gambar jualan di laman Facebook kedai. Semua pelanggan dikehendaki membuat pesanan melalui aplikasi WhatsApp sehari sebelum.

“Keesokan harinya, mereka (pelanggan) boleh terus datang mengambil pesanan mereka dan bayaran boleh dibuat secara dalam talian atau tunai semasa di kedai. Ia sekali gus dapat mengurangkan masa untuk beratur di kedai,” katanya. – BERNAMA

(Visited 187 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button