Nasionalpilihan

Fasa kedua MyMedic@Wilayah, 33,800 orang terima vaksin

SEBANYAK 33,800 orang akan menerima vaksin bermula hari ini sehingga 26 Jun depan menerusi program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua penerima vaksin melibatkan golongan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 termasuk peniaga, pekerja di pasar harian serta penjaja, kawasan industri, penempatan gelandangan, Program Perumahan Rakyat, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN), Perumahan Awam (PA) DBKL dan kampung-kampung tradisi.

“Fasa kedua ini melibatkan 22 lokasi antaranya, Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Harian Selayang, lapan kawasan industri, tujuh PPR MTEN/PA DBKL, pusat penempatan gelandangan di
Pusat Komuniti Setiawangsa, Desa Aman, Desa Tasik, Kampung Sungai Penchala dan
Kampung Padang Balang.

“Dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi yang menggunakan keseluruhan 13 trak vaksin bergerak merangkumi 52 doktor, 104 jururawat (petugas perubatan) dan lebih 150 petugas pentadbiran (bukan perubatan) akan dapat mencapai sasaran 80% warga WP Kuala Lumpur divaksinasikan menjelang Ogos 2021,” katanya.

Menurut Annuar Musa, Inisiatif ini adalah lanjutan daripada Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang telah bermula sejak 7-13 Jun 2021 yang lalu.

Jelasnya, dalam tempoh tersebut, 24,500 dos vaksin telah diberikan kepada kumpulan sasar di WP Kuala Lumpur.

“Melihat kepada kejayaan ini, pihak CITF telah memberikan kebenaran kepada KWP untuk meneruskan Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah ini.

“Kita mensasarkan 40 trak bagi Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah dengan 33,000 suntikan vaksin dalam sehari untuk dilaksanakan di WP Kuala Lumpur termasuk Putrajaya dan Labuan

“Sasaran itu mampu dicapai menerusi pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah,” ujarnya.

Kejayaan program vaksinasi ini adalah hasil kerjasama strategik KWP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutan (YWP) serta jabatan dan agensi kerajaan yang lain.

Terdahulu, dua program rintis pemberian vaksin ini telah dilakukan di 1,000 penduduk PPR Kampung Muhibbah dan 1,000 pekerja di tapak pembinaan Transit Aliran Massa (MRT)

Proses pemberian vaksin itu mendapat reaksi yang positif daripada penerima selepas melihat kelancaran program tersebut dilakukan.

Menerusi dua program tersebut, sebanyak empat buah trak vaksin bergerak disediakan dengan masing-masing membawa 500 dos suntikan vaksin. -SM

(Visited 202 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button