Politik

Desakan Muhyiddin berundur dari BERSATU tindakan gopoh, pramatang

Kalau parti kalah, semua Presiden kena berundur?

ULASAN Penganalisis Politik dan Geogstrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur sebagai Presiden BERSATU susulan kegagalan Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah agak gopoh.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad pada hematnya berkata, “saya tidak pasti mengapa pandangan sedemikian dilontarkan. Adakah untuk melihat BERSATU menjadi lebih kuat atau sekadar komen cakap buang sahaja.

“Apapun, dalam dunia politik komen sedemikian mudah mendapat tarikan dan dijadikan polemik oleh mereka yang mempunyai motif tertentu.”

Seterusnya, kata Marzuki, beliau ingin beri sedikit pandangan balas terhadap kenyataan Dr. Azmi:

Jika kekalahan pertama PN dalam PRN Johor dijadikan sebab mengapa Tan Sri Muhyiddin perlu berundur maka ramai Presiden parti lain yang mesti berundur juga.

Ada parti yang semua calonnya hilang wang deposit. Pengerusi dan Presiden parti ini mesti berundur lebih awal dari Tan Sri Muhyiddin. Ada parti yang kerusinya merosot hanya tinggal satu. Presiden parti ini pun mesti berundur jugalah agaknya.

Jika lojik Presiden parti mesti berundur apabila parti kalah pilihanraya maka banyak parti di negara kita telah mengalami pertukaran kepimpinan akibat partinya kalah. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku kepada semua parti.

PAS misalnya tidak pernah menang dalam pilihanraya Persekutuan kecuali di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Presiden PAS tidak bertukar dengan sebab PAS kalah pilihanraya.

Sebaliknya parti itu terus teguh. Apabila Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk pada 1 Mac 2020, PAS menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Ada juga parti yang mengalami kekalahan dalam banyak pilihanraya tetapi akhirnya menang tanpa menukar kepimpinannya.

Misalnya PKR di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah mengalami kekalahan dalam PRU tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013 tetapi akhirnya menang dalam PRU 2018.

Adakah kekalahan PN dalam PRN Johor adalah amat teruk sehinggakan Tan Sri Muhyiddin mesti letak jawatan?Dari segi bilangan kerusi mungkin nampaknya begitulah. Tetapi dari segi trend sokongan pengundi, data menunjukkan sebaliknya.

Dalam PRN Johor, PN adalah satu-satunya parti yang mencatat peningkatan sokongan pengundi Melayu berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Jika undi PAS dalam PRU14, tahun 2018 dijadikan undi asas PN, sokongan pengundi Melayu Johor kepada PN telah meningkat daripada 18.1% dalam PRU 2018 kepada 34.5% dalam PRN 2022.

Sebaliknya sokongan pengundi Melayu kepada BN telah merosot daripada 58.8% dalam PRU14 (tahun 2018) kepada 51.1% dalam PRN 2022. Data menunjukkan berlaku peralihan hampir 8 mata peratus sokongan pengundi Melayu BN kepada PN.

Perlu diingat, Johor adalah kubu kuat BN. Sokongan pengundi Melayu kepada PH juga telah merosot dengan ketara iaitu daripada 28.3% dalam PRU 2018 kepada 11.3% dalam PRN 2022. Sebanyak 17 mata peratus sokongan Melayu PH telah beralih kepada PN.

Bukankah ini suatu pencapaian kepda PN iaitu sebuah parti baharu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin?

Malah, sebuah kajiselidik tinjauan pendapat umum pengundi negeri Johor yang dijalankan oleh Institut Masa Depan Malaysia dengan kerjasama Merdeka Centre for Opinion Research pada 4 hingga 21 Februari 2022 mendapati Tan Sri Muhyiddin adalah pemimpin paling popular di negeri Johor dengan approval rating sebanyak 52% berbanding Datuk Seri Najib Razak 39%, Tun Dr. Mahathir Mohamad 35%, Lim Guang Eng 24% dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi 14%.

Dalam kalangan pengundi Melayu negeri Johor, kajian ini juga menunjukkan Muhyiddin adalah pemimpin paling popular dengan approval rating sebanyak 67% berbanding Najib 43%, Mahathir 43%, Zahid Hamidi 17% dan Lim Guan Eng 12%.

Tan Sri Muhyiddin juga mendahului sebagai calon Perdana Menteri (PM) iaitu dengan 29% responden bersetuju berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim 23% dan Datuk Seri Ismail Sabri 16%.

Dalam kalangan responden Melayu, Muhyiddin memperolehi 41%, Ismail Sabri 22% dan Anwar 10%.

Trend peralihan sokongan pengundi Melayu yang ketara kepada PN dalam PRN Johor mungkin juga disebabkan oleh populariti Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri dan anak Johor.

Berdasarkan data-data ini, bagi saya pandangan supaya Tan Sri Muhyiddin berundur hanya dengan sebab PN kalah dalam PRN Johor adalah agak gopoh dan pramatang. – SM

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button