Sukan

FAM serah kepada FIFA selesai kemelut PBNP, Sumareh

KEMELUT antara Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan bekas pemain pasukan itu, Mohamadou Sumareh bertambah rumit apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) lebih selesa menunggu keputusan yang bakal diputuskan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memandangkan kes tersebut telahpun dilaporkan kepada badan induk dunia itu.

PBNP, semalam, menerusi Jawatankuasa Tatatertib telah menjatuhkan hukuman penggantungan selama dua tahun daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak bagi empat kesalahan yang dilakukan pemain berusia 26 tahun itu ketika dia masih bergelar pemain Tok Gajah.

Hukuman bagi keempat-empat kesalahan itu berjalan serentak dan Sumareh hanya perlu menjalani hukuman selama dua tahun.

Dalam masa sama, PBNP juga menyerahkan kepada FAM untuk melakukan sesuatu bagi membantu menangani kemelut tersebut.

Namun begitu, FAM enggan dilihat sebagai membayangi tugas badan induk bola sepak dunia itu kerana beranggapan kes tersebut kini di bawah bidang kuasa FIFA.

Memetik laporan Bernama, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya, semalam, telah menerima surat berhubung keputusan Jawatankuasa Tatatertib PBNP yang menjatuhkan hukuman terhadap Sumareh di atas empat kesalahan melanggar terma kontrak pemain.

Bagaimanapun, menurut Stuart, perbalahan yang berlaku antara PBNP dan Sumareh yang telah berlarutan sejak Ogos lalu kini berada dalam siasatan FIFA dan sebarang tindakan mahupun hukuman di peringkat domestik hanya akan dibuat berdasarkan keputusan badan induk dunia tersebut.

“Pertikaian antara PBNP dan Sumareh kini dalam siasatan FIFA dan FAM perlu menghormati proses perundangan badan induk dunia terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Justeru untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan, FAM tidak akan memberi sebarang ulasan berhubung perkara ini sehingga FIFA membuat keputusan di peringkat Majlis Penyelesaian Pertikaian (DRC) FIFA,” katanya.

Sumareh kini tidak lagi beraksi bersama Pahang, malah, sebaliknya dia mengambil keputusan mengejut dengan berpindah ke kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 September lepas.

Pemain kelahiran Gambia itu bertindak tidak menjalani sesi latihan selama sebulan bersama skuad Tok Gajah sejak awal Ogos lalu.

Sumareh yang mula menyarung jersi Tok Gajah pada 2017 dilaporkan telah menghantar surat pembatalan kontrak kepada PBNP pada 4 Ogos berdasarkan klausa 8.6 yang menyatakan pemain boleh membatalkan kontrak jika pasukan tidak membayar gaji lebih daripada sekali.

Bagaimanapun, PBNP dilaporkan menafikan dakwaan itu sebaliknya berpegang kepada perjanjian yang telah ditandatangani serta persetujuan yang dicapai secara bersama oleh kedua-dua pihak. – SM

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button