fbpx
Nasional

Rayuan BPN dilanjutkan hingga 31 Mei

KERAJAAN melanjutkan rayuan Bantuan Prihatin Nasional  (BPN) sehingga 31 Mei ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, selain menghantar emel para pemohon boleh hadir sendiri ke kaunter-kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan bermula esok.

Bagi negeri-negeri yang bercuti esok boleh pergi ke kaunter LHDN pada hari Selasa.

“Saya tak berjanji semua rayuan boleh diluluskan. Tetapi mana-mana rayuan yang memenuhi syarat dan munasabah, insyaAllah boleh diluluskan,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas sebentar tadi.

Menurutnya, beliau mengetahui terdapat rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran BPN atas pelbagai sebab antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap.


Muhyiddin berkata, ada permohonan ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan namun mereka sebenarnya telah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan.

“Ada juga antara yang memohon adalah pelajar yang telah menerima bantuan BPN bagi kategori pelajar. Jadi permohonan mereka untuk mendapatkan bayaran BPN bagi kategori bujang ditolak.

“Ini antara sebab-sebab permohonan ditolak. Mengambil kira semua perkara ini, YB Menteri Kewangan telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei 2020.,” kata Muhyiddin.

Sehingga semalam kerajaan telah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN termasuk permohonan baharu dan rayuan melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 billion.

Dengan kelulusan tersebut, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang yang melibatkan bayaran berjumlah RM11 billion.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button